Saturday, June 8, 2013

PPPR cadang SPRM diletakkan di bawah jawatankuasa khas Parlimen


June 07, 2013 TMI
KUALA LUMPUR, 7 Jun — Kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diletakkan di bawah sebuah jawatankuasa khas parlimen seperti yang dilakukan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), cadang Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR). 
Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaaffar berkata SPRM dalam bentuk sekarang tidak dapat melepaskan diri daripada isu persepsi dan tanggapan rakyat terhadap kebebasan, integriti dan kemampuannya.
“Sudah sampai masanya kerajaan mengambil kira semua pandangan, kecaman dan tuduhan yang dilemparkan pelbagai pihak mengenai nama baik dan imej SPRM sebelum, sewaktu dan sesudah pilihan raya umum ke-13.

“Sebahagian besar pandangan, kecaman dan tuduhan terhadap SPRM ini tidak berasas dan berniat jahat, tetapi PPPR berpendapat SPRM akan terus berdepan dengan soal persepsi ini selagi SPRM berada dalam kedudukannya sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 1 Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR, kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada jawatankuasa khas yang diwakili anggota parlimen daripada semua parti politik kerajaan atau pembangkang.

Johan berkata SPRM merupakan entiti yang diwujudkan berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, bukan hanya sebuah jabatan kerajaan yang harus tunduk pada kuasa pentadbiran atau eksekutif seperti pandangan rakyat umum.

Sehubungan itu, beliau berkata PPPR menggesa kerajaan mengambil lima langkah segera ke arah merealisasikan cadangan berkenaan.
* menubuhkan satu panel bebas dan dwipartisan dianggotai semua parti politik bagi mengkaji akta dan peruntukan bagi membolehkan SPRM diletakkan di bawah jawatankuasa khas parlimen;

* menyediakan garis masa bagi merealisasikan cadangan itu;
* suruhanjaya dibentuk kelak perlu ditukar nama dengan memasukkan perkataan 'bebas' menjadi Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Malaysia (SBPRM) mengambil model banyak agensi rasuah di luar negara. Perkataan 'Bebas' membawa makna kuat dan sesuai dengan imej baru SPRM.

* memastikan terma baharu pesuruhjaya SPRM sesuai dengan kedudukan baharunya.
* pelantikan pesuruhjaya SPRM dibuat menggunakan model 'Congressional Hearing' di Amerika Syarikat iaitu calon presiden bagi satu-satu jawatan strategik harus melalui proses 'Confirmation Hearing'. Hanya individu melepasi tahap itu sahaja dipertimbangkan ke jawatan tersebut.

“Panel ini berpendapat cadangan ini perlu dilaksanakan serta-merta. Panel juga berpendapat dalam memerangi rasuah, SPRM bukan sahaja harus 'bersih' tetapi 'kelihatan bersih',” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment