Bekas
suami M Indira Gandhi (gambar), Muhammad Ridzuan Abdullah akan membuat
rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan
pengislaman ketiga-tiga anaknya dalam masa 10 hari akan datang.
Peguam kepada Muhammad Ridzuan, Hatim Musa mengesahkan menerima arahan
itu daripada anak guamnya yang tidak hadir ke mahkamah ketika hakim
memberikan keputusan.
"Kita sudah pasti akan membuat rayuan kerana ia berkaitan pembatalan
sijil memeluk Islam. Lagipun, kes ini membabitkan kepentingan awam."Anak guam saya ada di sekitar Ipoh pada hari perbicaraan tetapi dia
tidak sempat hadir ke mahkamah," kata Hatim dipetik dari akhbar Utusan
Malaysia hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Lee Swee Seng dalam
penghakimannya selama 1 jam 40 minit menetapkan perakuan memeluk Islam
ke atas ketiga-tiga anak Indira Gandhi iaitu Tevi Darsiny, 16, Karan
Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal dan tidak sah.
Beliau berkata pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan kerana
bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak
dilakukan di hadapan Indira dan anak-anaknya.
Swee Seng berkata di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004
mengehendaki anak-anak Indira hadir untuk mengucapkan kalimah syahadah
sewaktu pendaftaran pengislaman tersebut dilakukan.
“Di bawah Perkara 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan; Indira Gandhi
mempunyai hak kebebasan dan hak sama rata untuk membesarkan anak-anak
dengan didikan amalan agamanya.
“Keputusan ini merujuk kepada Konvensyen Untuk Menghapuskan
Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita (Cedaw) yang
ditandatangani oleh kerajaan Malaysia,” tambah Swee Seng semasa
penghakimannya terhadap kes itu.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Indira, M Kulasegaran berkata
beliau berharap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan
mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu disebabkan kes berkenaan
berlarutan selama lima tahun.
"Dua tahun lalu, Peguam Negara pernah membantah apabila kita cuba
membawa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat semakan kehakiman
kerana berpendapat Mahkamah Tinggi boleh mengendalikan kes itu.
"Oleh itu, kita berharap beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk merayu dalam keputusan kali ini," katanya.
Indira, seorang guru tadika berkahwin dengan K Patmanathan 20 tahun dahulu mengikut ritual Hindu.
Enam tahun selepas perkahwinan, pada 11 Mac, 2009, suaminya masuk Islam dan menjadi Muhammad Ridzuan Abdullah.
Sebulan selepas itu, beliau menukar agama ketiga anak-anaknya di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Ipoh, Perak.
Penukaran agama itu tanpa pengetahuan isterinya.
Pada bulan sama, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak kepadanya.
Mereka akhirnya bercerai dan suaminya mengambil anak bongsu yang berumur setahun bersamanya.
Indira kemudiannya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Mahkamah
Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepada ayah dan pada Julai
2010, beliau menang kes walaupun terdapat bantahan keras Peguam Negara.
Walaupun menang, suaminya tidak memulangkan anak perempuan bongsu mereka. – 27 Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment