Penulis blog Amizudin Ahmat gagal dalam rayuannya bagi mengetepikan
keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana
menghina mahkamah berhubung artikel yang memfitnah bekas Menteri
Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Amizudin didapati bersalah menghina mahkamah pada 10 Ogos tahun lalu apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Rais.
Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai
Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah
Tinggi selepas menolak rayuan Amizudin.Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah tidak dapat mencari
sebarang kekhilafan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan
Amizudin, 43 dengan kesalahan menghina mahkamah.
"Perintah yang memaksa beliau dipenjara tiga bulan adalah tidak
keterlaluan dan tidak mewajarkan campur tangan kami," katanya yang
bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk
Anantham Kasinater.
Bagaimanapun, Zaharah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan
Mahkamah Rayuan sementara menunggu permohonan penulis blog itu untuk
kebenaran merayu perintah hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Beliau turut memerintahkan Amizudin memfailkan permohonan itu dalam tempoh dua minggu.
Katanya, jika Amizudin gagal berbuat demikian, beliau perlu hadir di
Mahkamah Rayuan selepas tempoh itu berakhir untuk menjalani hukuman.
Panel itu menolak rayuan itu tanpa kos.
Pada 21 Nov 2011, Rais, 71, diberi kebenaran memulakan prosiding
komital terhadap Amizudin berhubung satu saman yang difailkan olehnya.
Rais menang dalam saman fitnah beliau terhadap penulis blog itu di
Mahkamah Tinggi, yang pada 19 Julai 2011, memerintahkan Amizudin
membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM100,000 kepadanya.
Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan 2011 terhadap Amizudin, yang juga
anggota Jawatankuasa Belia Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung satu
artikel yang disiar dalam laman blog penulis itu,
sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau kira-kira 28 Dis 2010.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan jumlah ganti rugi yang diputuskan
mahkamah sambil menyifatkan ia tidak begitu tinggi berdasarkan kedudukan
sosial Rais. Bagaimanapun, jumlah kos dikurangkan kepada RM50,000.
Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Amizudin oleh R Sivarasa. - Bernama, 23 Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment