Indonesia dalam siasatannya mendapati kejadian jerebu yang
melanda negara jirannya terutama Malaysia dan Singapura pada Jun lalu,
disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kaedah tebas dan bakar yang
dilakukan anak syarikat Malaysia di Indonesia iaitu PT ADEI Plantation
and Industri.
Jakarta Post melaporkan hari ini Polis Nasional Indonesia berkata
pihaknya bersedia untuk mendakwa anak syarikat Kuala Lumpur Kepong
Berhad (KLK) itu yang dipercayai bertanggungjawab terhadap pembakaran
hutan di wilayah Riau.
Jurucakap Polis Nasional, Inspektor Jeneral Ronny F Sompie, berkata
syarikat itu dikatakan menjalankan amalan pembakaran secara tidak
bertanggungjawab di semua kawasan konsesinya di Riau.
“Syarikat itu didapati bertanggungjawab terhadap pembakaran itu dan
diisytiharkan sebagai suspek, tetapi kita belum lagi mengenal pasti
pekerja syarikat itu yang bertanggungjawab melakukan pembakaran,”
katanya.
Ronny berkata, pihaknya mengesan beberapa tempat di kawasan itu
dikawal oleh lima syarikat, tetapi hanya memperolehi bukti cukup
terhadap pembabitan PT ADEI kerana syarikat itu menggunakan kaedah yang
diharamkan iaitu tebas dan bakar untuk membersihkan tanah bagi aktiviti
penanaman semula.
Jun lalu, api daripada kerja tebas dan bakar itu menyebabkan jerebu
teruk di Singapura dan Malaysia serta beberapa kawasan di Indonesia
terutama yang berhampiran kebakaran itu. Pencemaran udara yang teruk itu
menyebabkan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memohon maaf
kepada negara jiran.
Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar, Balthasar Kambuaya memaklumkan
mengenai kemungkinan pembabitan 14 syarikat yang menyebabkan kebakaran
hutan di Riau.
Daripada jumlah itu, lapan dimiliki rakyat Malaysia iaitu PT Langgam
Inti Hiberida, PT Bumi Rakksa Sejati, PT Tunggal Mitra Plantation
(PTTMP), PT Udaya Loh Dinawi, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut
Industri, PT Mustika Agro Lestari and PT ADEI. Tiga firma yang sedang
disiasat dimiliki syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia. Polis
kemudian menyiasat lima syarikat terbabit termasuk PT ADEI.
Sementara itu, jurucakap Polis Riau, Adj Sr Com Hermansyah, berkata
pihaknya menyoal 16 saksi dalam kes itu, iaitu pekerja ladang dan
pengurusan PT ADEI.
“Tiada yang dinamakan sebagai pelaku kebakaran itu. Kita tidak mahu
terburu-buru menamakan pihak bertanggunggjawab,” katanya yang enggan
mendedahkan nama dan jawatan saksi.
Jika didapati bersalah, semua yang terbabit boleh didakwa mengikut
Undang-undang Alam Sekitar 2002; Undang-undang Perhutanan 1999 dan Kanun
Jenayah yang membawa maksimum penalti penjara 10 tahun dan denda (USD1
juta).
Pada 26 Jun, KLK menyiarkan kenyataannya menegaskan bahawa mereka
tidak melakukan amalan pembakaran secara tidak bertanggungjawab dan
mematuhi sepenuhnya polisi pembakaran sifar ASEAN dalam semua operasi di
ladangnya.
“Kawasan konsesi yang dikatakan di bawah PT ADEI itu ditanam dengan
kelapa sawit matang dan berada di peringkat produktif. Maka, tiada
keperluan untuk aktiviti pembersihan tanah bagi tujuan penanaman baru,”
katanya.
Firma terbitan awam itu bagaimanapun, mengakui ada berlaku kejadian
kebakaran kecil dalam kawasan kecil di konsesinya disebabkan musim
kemarau. – 12 Julai, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment