Tweet
dan retweet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) dalam
Twitternya yang berlangsung antara hari penamaan calon hingga hari
mengundi untuk memikat pengundi gagal menghasilkan kesan yang diharapkan
pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu, kata penyelidik
tempatan.
Dr Surinderpal Kaur, yang menjalankan kaji selidik kesan perkhidmatan
mikroblogging Twitter sebelum dan selepas pilihan raya, berkata tweet
perdana menteri dibaca ramai orang tetapi kesannya kurang kerana ia
berbalas hanya di kalangan pengikutnya iaitu kemungkinan cybertrooper
atau pengamal media sosial berbayar.
Kaji selidik itu dijalankan berdasarkan kepada kira-kira 900,000 tweet
mengenai pilihan raya. Aktiviti tweet menjadi popular pada PRU13, satu
perubahan daripada pilihan raya pada 2008 apabila jaringan sosial
didominasi oleh blogger.
“Tweet perdana menteri lazimnya tersebar di kalangan mereka yang
mengikutinya. Pengikutnya kemudian hanya tweet dan retweet kepada
pembaca yang berada dalam jaringan mereka,” katanya di seminat pasca
PRU13 di Kuala Lumpur, hari ini.
Seminar itu dianjurkan Pusat Demokrasi dan Pilihan raya Universiti
Malaya (UMCEDEL), yang menjalankan beberapa soal selidik sebelum, ketika
dan selepas PRU13.
Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib menang dalam pilihan raya umum itu
di 133 kerusi parlimen, kurang tujuh daripada 140 yang dimenangi pada
pilihan raya 2008 ketika Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri.
Surinderpal berkata, untuk mendapatkan kesan positif, pengikut media
sosial Najib seharusnya menyalurkan segala maklumat dalam Twitter
perdana menteri itu kepada masyarakat di luar jaringan mereka. (Retweet
adalah proses mengulang semula tweet yang asal).
“Perkara ini tidak berlaku. Antara sebabnya mungkin kerana kebanyakan
pengikut berkenaan mungkin cybertrooper,” katanya yang juga pensyarah
kanan di UM dan felow UMCEDEL.
Secara mudahnya, beliau berkata, kegiatan Twitter perdana menteri itu
mencerminkan komunikasi terbatas yang hanya terkepung antara Najib
dengan mereka yang di dalam jaringannya sahaja.
“Ini antara sebab mengapa BN tewas dalam perang sibernya menentang
pembangkang kerana tweet mesti mencetuskan reaksi berantai,” katanya.
Menurut socialbakers.com yang mengukur statistik jaringan sosial, Najib
mempunyai 1.67 juga pengikut di Twitter sejak membuka akaun empat tahun
dan 10 bulan lalu. Perdana menteri hanya membuat tweet sebanyak
kira-kira 4,500 kali.
Berbanding lawan politiknya, ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ihrahim hanya mempunyai 359,007 pengikut walaupun akaunnya bermula enam
tahun dan empat bulan lalu. Tetapi, Anwar tweet sebanyak hampir 30,000
kali.
Surinderpal berkata, perbandingan antara jaringan pro-Pakatan Rakyat
(PR) dan sebahagian rakyat Malaysia mungkin tidak mempunyai jumlah besar
tetapi kesannya jelas kerana mereka berkait dengan jaringan lain.
Beliau berkata, rapat umum Black 505 anjuran PR selepas pilihan raya
diketahui umum kerana informasi yang diterima daripada Twitter di
sebalik kekurangan liputan mengenai aktiviti itu di media arus perdana.
Katanya, nama Anwar menjadi sebutan ramai selepas pilihan raya kerana perkhidmatan mikroblogging. – 24 Julai, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment