Menteri
Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor semasa upacara berbuka
puasa di Masjid Amaniah, Kepong hari ini. Gambar The Malaysian Insider
oleh Afif Abd Halim, 27 Julai, 2013.Guru besar SK Seri
Pristana Mohamad Nasir Mohd Nor bakal mendapat pembelaan daripada
kerajaan sekiranya jelas terbukti beliau tidak bersalah dalam isu
membenarkan pelajar bukan Islam sekolah berkenaan menikmati makanan pada
waktu rehat di bilik persalinan, kata Tengku Adnan Tengku Mansor.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata isu SK Seri Pristana diputar
belitkan pihak pembangkang bagi menunjukkan kerajaan bersalah dalam isu
tersebut.
“Guru besar tersebut memang sengaja meletakkan pelajar sekolah itu
menikmati makanan pada waktu rehat di bilik persalinan bagi melindungi
pelajar daripada terdedah kepada sinaran matahari.
“Pihak pembangkang telah memutar-belit perihal sebenar yang berlaku di
sekolah berkenaan dengan menyalahkan pihak sekolah dan kementerian,”
ujar beliau semasa satu sidang media sempena majlis berbuka puasa di
Kuala Lumpur.
Setiusaha Agung Umno itu turut mengulas perselisihan faham yang berlaku
di antara Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia
(Perinbam) semasa mengumumkan penubuhan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia
(Mirac) di Kuala Lumpur semalam.
Tengku Adnan berkata pembangkang turut mengapi-apikan badan bukan
kerajaan (NGO) yang terlibat bagi membentuk persefahaman antara kaum
sambil terus memberikan persepsi yang buruk kepada Perkasa dengan
melabelkan mereka sebagai pertubuhan perkauman.
“Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah persepsi yang cuba dimainkan
pembangkang bagi memburukkan Perkasa. Mereka ini sengaja menangguk di
air yang keruh.
“NGO seperti ini wajar dipuji kerana telah menunjukkan semangat
perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa bagi mencapai satu tujuan.
Jangan kita biarkan pihak pembangkang untuk melemparkan tuduhan yang
bukan-bukan. Mereka hanya mahu mengelirukan rakyat dan bermain dengan
emosi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Adnan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata beliau akan berusaha keras
bagi meningkatkan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) di wilayah
itu dengan cuba mengembalikan kegemilangan BN sebagaimana yang pernah
diterajuinya dahulu pada tahun 2000.
Beliau bertekad untuk menambah penguasaan BN yang mana hanya menang dua
kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menjadi kepada empat
kerusi pada PRU akan datang. Majlis berbuka puasa di masjid berkenaan
adalah yang kelapan dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan
sempena meraikan bulan Ramadhan.
Pasangan suami isteri yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut
menerima sepasang persalinan dan wang tunai RM100 setiap pasangan.
Semalam, semasa Majlis Mesyuarat Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, Tengku
Adnan telah dipilih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah
Persekutuan sementara Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebagai
timbalannya. - 27 Julai, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment