
Ketua Polis Negara, Tan Sri khalid Abu Bakar (gambar) hari ini berkata,
polis masih belum mempunyai bukti cukup untuk mendakwa tiga pemimpin
pembangkang yang dikatakan menjadi dalang pencerobohan pemberontak Sulu
di Lahad Datu, Sabah.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih mengumpul bukti bagi mengheret ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu ke mahkamah.
"Siasatan masih lagi dijalankan dan apabila ia sudah lengkap baru kita
akan kemukakannya kerana proses ini ini tidak ada had masa. Ia akan
berterusan dan tidak akan berhenti sehingga selesai," katanya dalam
sidang media selepas acara Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka
pagi tadi.
Bagaimanapun, apabila ditanya adakah pihaknya akan memanggil
ketiga-tiga pemimpin pembangkang terbabit untuk proses soal siasat,
beliau berkata, ia akan dilakukan sekiranya perlu.
Dalam isu pencerobohan Lahad Datu 9 Februari lalu, sekumpulan
penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan
berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad
Datu.
Akibat daripada itu, media Filipina melaporkan pihak pembangkang yang dikaitkan dengan penceroboh tersebut.
Akhbar the Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita
Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata,
pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari
parti pembangkang di Malaysia.
The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan
dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepas wilayah autonomi
Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum.
Ia menyebabkan Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan
pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang
mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu,
Sabah.
Antara tiga pemimpin pembangkang yang dituduh ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - 31 Julai, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment