Monday, July 15, 2013

MB Kedah akan teruskan usaha baik kerajaan PAS . Tok Mudim pun akan dapat sumbangan

BN Kedah teruskan usaha baik kerajaan PAS, kata Mukhriz

July 15, 2013
Kerajaan Kedah yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) akan meneruskan usaha baik yang dilakukan kerajaan pimpinan PAS sebelum ini, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.
Beliau berkata, sesuatu yang baik itu harus dikekalkan biarpun yang memperkenalkannya ialah kerajaan terdahulu.

"(Sebagai contoh), Dalam soal pemberian sumbangan kepada guru Quran sukarela dan bidan kampung, sebenarnya kerajaan negeri pimpinan saya meneruskan apa yang dilakukan kerajaan negeri sebelum ini.
"Jika dahulu, sumbangan diberikan kepada guru Quran sukarela dan bidan kampung tetapi kali ini kita turut menghargai jasa tok mudim," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama pegawai kanan kerajaan negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, semalam.
Pada program itu, Mukhriz menyampaikan sumbangan kepada 771 guru Al-Quran sukarela, bidan kampung dan mudim di daerah Kota Setar.

Mukhriz berkata, satu lagi program yang baik yang diteruskan ialah Kuliyah Sabtu, yang diadakan di Seri Mentaloon dan program itu menerima sambutan yang amat memuaskan.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif sedang dirancang dan ada yang sudahpun dilaksanakan untuk memacu pembangunan negeri.
"Pelan pembangunan dirangka untuk mencergaskan kembali pembangunan negeri agar tidak lagi terpinggir dari arus perdana pembangunan negara.

"Sebahagian besar program pembangunan melibatkan perkara yang digariskan dalam Aku Janji BN Kedah pada pilihan raya umum ke-13 lalu," katanya. - Bernama, 15 Julai, 2013.

No comments:

Post a Comment