Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan beberapa
badan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam mendesak mendesak kerajaan
Malaysia menutup kedutaan Vatican City di negara ini.
Kenyataan itu hadir susulan kenyataan Duta Vatican City ke Malaysia,
Biskop Joseph Marino berikutan sokongan duta itu terhadap penggunaan
kalimah Allah di kalangan penganut Kristian.
“Marino dengan sengaja dan berniat jahat membuat kenyataan yang boleh
mengeruhkan hubungan Islam-Kristian di Malaysia sekali gus perlu
memohon maaf kepada seluruh umat Islam.
"Kenyataannya bercanggah dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia
merupakan perbuatan sengaja, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
"Kita menuntut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memanggil Marino
dan diberi kata dua,” kata Nasharudin pada kenyataan yang dipetik dari
Mingguan Malaysia hari ini.
NGO yang melontarkan pandangan sama ialah Yayasan Nassar, Pertubuhan
Jalur Tiga (Jati), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia
(Muafakat), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Selain itu, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela),
Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia dan Suara Anak
Muda 1Malaysia.
Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali pula, berkata kenyataan
duta berkenaan membawa ancaman serius jika tidak dibendung kerajaan
berikutan isu itu sensitif di kalangan umat Islam di negara ini.
Katanya, tindakan tegas itu wajar kerana Marino melanggar had sebagai
seorang duta sebagaimana peruntukan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan
Diplomatik 1961.
Beliau juga menyifatkan Marino mencampuri urusan dalaman Malaysia
dengan menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di
negara ini.
Marino dalam wawancara dengan sebuah portal berita kelmarin menyokong
pendirian gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah
Allah di kalangan penganut Kristian di negara ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, berkata kenyataan Marino itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia
menimbulkan kegelisahan awam serta boleh menggugat perpaduan. 14 Julai,
2013.TMI
No comments:
Post a Comment