Terima hakikat polis lemah
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam sikap Putrajaya yang
masih menyembunyikan hakikat sebenar kadar jenayah yang semakin
meningkat serta menggunakan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai alasan,
kata NGO pemantau jenayah, MyWatch dan hak asasi manusia, Suaram serta
menggesa pasukan polis menerima hakikat kelemahan mereka sendiri.
Pertikaian itu kembali diperkatakan selepas Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan penjenayah yang
ditangkap kerana melakukan kesalahan di negara ini adalah bekas tahanan
di bawah EO.
"Kerajaan hendak menubuhkan semula akta seperti EO bagi membolehkan
mereka melakukan tindakan tahanan tanpa bicara, dan sesuka hati boleh
tahan orang yang mereka anggap sebagai ancaman," kata pengerusi MyWatch,
R Sri Sanjeevan kepada The Malaysian Insider bagi membidas rancangan
Ahmad Zahid yang mahu memperkenalkan akta sama seperti EO bagi
membanteras jenayah.
Pengerusi MyWatch itu berkata kenyataan Ahmad Zahid membuktikan polis
mengakui kelemahan mereka sendiri kerana polis tidak dapat menjalankan
siasatan dan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat Malaysia.
"Tindakan ini sama seperti polis tidak percayakan anggota mereka.
"Ini umpama polis tidak percaya daya saing anggota mereka, dan tahap penyiasatan mereka masih lemah," katanya.
Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli
Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan
peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar
jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.
EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.
Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua
berkata indeks jenayah yang dikeluarkan polis pada 2012 menyaksikan
penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus
berbanding 2011.
Malahan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan
ketelusan kerajaan dalam membabitkan isu kadar jenayah apabila Ahmad
Zahid menyatakan jenayah meningkat tetapi kerajaan sebaliknya pula
mengeluarkan statistik menunjukkan jenayah menurun.
"Di mana statistik jenayah yang baru? Saya beri soalan ini kepada
Ahmad Zahid semasa penggulungan titah Diraja di Parlimen semalam, tetapi
dia tidak beri jawapan yang memuaskan," kata Lim, baru-baru ini.
Suaram turut menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis
tidak menyembunyikan perkara sebenar kerana kepentingan dan keselamatan
rakyat lebih mustahak.
"Polis dan KDN harus telus dalam isu kenaikan kadar jenayah di
Malaysia. Jika kadar jenayah meningkat kerana kegagalan polis untuk
menyelesaikannya maka perkara itu harus diakui dan polis harus
memperbaikinya.
"Tiada gunanya kadar jenayah yang sebenar disorok hanya kerana mahu
jaga imej PDRM dan KDN. Ini membabitkan keselamatan rakyat," kata
Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.
Bagaimanapun, Nalini menegaskan pendirian Suaram bahawa tidak wajar
menggunakan EO sebagai alasan dan menyifatkan rancangan untuk mewujudkan
undang-undang yang sama melanggar hak asasi manusia.
"Kenaikan kadar jenayah tidak boleh diperbaiki dengan mengembalikan
undang-undang darurat seperti EO yang mencabul hak asasi manusia dengan
membenarkan penahanan tanpa bicara," kata Nalini.
Suaram berkata, undang-undang itu hanya akan menyebabkan polis lebih malas daripada menjalankan tanggungjawab mereka.
"Undang-undang ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan boleh
mewujudkan 'kemalasan' di kalangan polis untuk menjalankan siasatan
terperinci," katanya.
Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang
Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa
daripada mereka kembali melakukan jenayah.
Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika
EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada
2008. - 13 Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment