Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), menggesa kerajaan
mengadakan perbincangan bersama ahli Parlimen, peguam, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) Islam dan ulama berhubung Rang Undang-Undang Pentadbiran
Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang membenarkan ibu atau bapa
yang memeluk Islam menentukan agama anak.
Menurut pengerusinya Datuk Khairul Anwar Rahmat, tindakan itu perlu
supaya keputusan kerajaan menarik semula pembentangan rang undang-undang
tersebut di Parlimen semalam dapat dikaji semula.
"Kita usah tewas sebelum berjuang, ini soal akidah anak-anak kita di
bawah usia 18 tahun yang mana ibu atau bapa yang sudah mendapat hidayah
Islam wajib pertahan akidah anak mereka,” kata Khairul Anwar.
Beliau berkata perkara ini jelas ditafsirkan oleh Mahkamah
Persekutuan iaitu dalam kes Subahsini lawan Saravanan, tidak memerlukan
kedua-dua persetujuan ibu bapa dalam menentukan agama anak, cukup
sekadar salah seorang ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam.
SukaGuam turut menyeru umat Islam, ahli Parlimen serta NGO bersatu
mempertahankan dan memastikan Rang Udang-Udang berkenaan dibentangkan
dan diluluskan di Parlimen.
"Apalah ertinya Islam diiktiraf agama Persekutuan jika Rang
Undang-Undang memelihara akidah anak umat Islam tidak dapat dibentang
dan diluluskan? Inilah masa kita melihat umat Islam bersatu mempertahan
agama kerana perbuatan itu adalah jihad," katanya dipetik dari akhbar
edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam
(Pembela), Dr. Yusri Mohamad berharap proses perbincangan susulan
berhubung perkara tersebut berjalan lancar dan tidak terikat dengan
tekanan mana-mana pihak.
Menurut Yusri, pihaknya berharap keputusan akhir dapat diterima semua
pihak meskipun tidak sepenuhnya menyebelahi mereka dan mustahil untuk
mencari formula supaya semua pihak bersetuju tetapi kita perlu bersedia
bertolak-ansur.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat berkata
mesyuarat Kabinet bersetuju menarik semula Rang Undang-Undang
Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013
berhubung isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama
Islam.
Muhyiddin berkata pandangan dari pelbagai sudut sudah diperhalusi
dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti komponen
BN dan Kabinet bersetuju penarikan balik Rang Undang-Undang itu perlu
demi memastikan isu penentuan agama anak dalam kes seumpama diselesaikan
dengan cara yang adil kepada semua. - 7 Julai, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment