Sunday, July 21, 2013

PAS pertikai ‘kempen’ setengah bilion BN di Kuala Besut

Oleh Mohd Farhan Darwis
July 21, 2013

PAS mempertikai perbuatan Barisan Nasional (BN) memberi bantuan ad hoc dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut yang kini dianggar hampir setengah bilion ringgit.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli mempersoal sumber dana  yang tidak melalui peruntukan belanjawan yang dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Persoalannya, sumber manakah yang digunakan BN dalam peruntukan yang diumumkan sepanjang tempoh PRK Kuala Besut," kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu."Apakah ia sumber persekutuan melalui perbelanjaan infrastruktur atau Umno dan BN terus merompak dana khas persekutuan atau royalti petroleum hak rakyat Terengganu," katanya.

BN setakat ini mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggar bernilai RM387,490,750.
Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PAS mendakwa semua projek yang diumumkan kerajaan BN itu hasil perjuangan dan kempen yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.
"Hasil kempen PAS dan Pakatan Rakyat mendedahkan kepincangan tadbir urus dan ketempangan pembangunan yang tidak seimbang, maka rakyat Kuala Besut menerima habuan ini," kata Hatta.- 21 Julai, 2013.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment