Friday, July 19, 2013

Peguam jenayah: Kenapa pasangan lucah tidak diberi ikat jamin?

OLEH V ANBALAGAN, PENGARANG BERITA July 19, 2013
Bagaimana kalau pasangan blogger seks itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah?
Masa yang terpaksa mereka  habiskan di penjara reman tidak boleh dipatah balik dan ia seperti keadilan yang dipersendakan untuk pasangan Alvin Tan dan Vivien Lee.

Beberapa peguam jenayah terkejut kerana pasangan itu tidak dibenarkan ikat jamin ketika mereka didakwa di mahkamah semalam atas tiga pertuduhan berkaitan penyiaran gambar mereka menikmati bak kut teh (sup tulang babi) sambil mengucapkan salam sempena Ramadan di laman sosial Facebook dan gambar lucah mereka di blog.

“Mereka tidak bersalah selagi tidak didapati bersalah oleh mahkamah,” kata peguam, Rajpal Singh.
Rajpal berkata, dalam keadaan biasa, jaminan akan ditawarkan kepada tertuduh dengan kesalahan yang hamper sama seperti pasangan itu.

“Saya berpendapat ikat jamin patut ditawarkan kepada mereka kerana mereka tidak mengaku salah atas tuduhan itu,” katanya.
 Beliau berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran tidak menggunakan budi bicaranya untuk menawarkan ikat jamin seadilnya.
Pensyarah undang-undang jenayah, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata dalam Seksyen 389 Kanun Acara Jenayah dengan jelas menyatakan bahawa jaminan ditawarkan untuk menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes undang-undang yang dipraktikkan selama bertahun-tahun menekankan bahawa mahkamah patut menawarkan ikat jamin kepada tertuduh dengan syarat tiada cubaan tertuduh untuk campur tangan dengan saksi.
Alasan lain, katanya, ialah tertuduh tidak melarikan diri atau mengganggu bukti.
Malah, katanya, dalam kesalahan yang tidak dibenarkan ikat jamin seperti kes bunuh, kadang-kala ada mahkamah menawarkan ikat jamin.

Pada 2002, Mahkamah Tinggi menetapkan set duluan dengan melepaskan tertuduh kes bunuh Datuk Balwant Singh diberi ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh bicara.
Alasannya ialah tertuduh sudah berumur dan menderita komplikasi perubatan.

Balwant bagaimanapun dikenakan beberapa syarat lain, termasuk berada di rumah dari jam 6 petang hingga 8 pagi.
Dengan contoh itu, Baljit berkata, beliau bingung apabila hakim Mahkamah Sesyen bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pasangan itu mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar ke internet yang boleh menimbulkan kemarahan orang awam.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment