July 10, 2013 TMI
Kerajaan negeri Perak menerima maklum balas positif daripada
Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan mewujudkan Pihak Berkuasa
Pelabuhan Negeri, iaitu sebuah badan yang menjalankan kawal selia,
pemantauan dan pengawasan terhadap semua pelabuhan dan jeti di Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata maklumat
balas yang diterima itu membabitkan prosedur tertentu serta aspek
perundangan berhubung penubuhan badan berkenaan.
"Kita mengharapkan ia dapat pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan
Pusat. Kita mendapat makluman awal selain perlu kelulusan kerajaan
Pusat, perkara itu juga perlu dibawa ke Kabinet dan perlu mendapat
perkenan Yang Dipertuan Agong.
"Jadi, proses kelulusan itu akan mengambil masa," katanya kepada
pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan
negeri, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan cadangan yang dikemukakan
kepada kerajaan Pusat itu diluluskan memandangkan Perak adalah satu
negeri pesisir pantai dengan bilangan pelabuhan kecil serta besar yang
semakin meningkat.
"Peranan Perak sebagai satu kawasan maritim amat penting pada masa
depan dan kerajaan negeri sedang merancang supaya kawasan itu boleh
dibangunkan," katanya.
Pada Jun tahun lalu, Zambry berkata cadangan itu dikemukakan kerana
Perak memerlukan jalan penyelesaian untuk pengawasan dan penggalakan
kepada pengurusan pelabuhan yang melibatkan kapal-kapal yang ingin
berlabuh serta keselamatan navigasi di perairan Perak.
Perak mempunyai satu pelabuhan utama, iaitu Pelabuhan Lumut serta pelabuhan kecil seperti di Kampung Acheh dan Bagan Datoh.
Mengenai pembinaan lebuh raya pantai barat, beliau berkata Perak
menunggu keputusan Menteri Kerja Raya untuk menetapkan tarikh untuk
projek itu dimulakan.
"Kerajaan negeri berharap ia dapat disegerakan walau pun kita tahu
kerajaan Pusat juga mempunyai komitmen mereka. Kita tidak tahu segera
itu bila, tetapi kerajaan Pusat juga mahu ia dipercepatkan," katanya.
Pada 27 Jun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata,
untuk pelan pelaksanaan ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh
(RMK10), jemaah menteri meluluskan pembinaan dua lebuh raya baharu iaitu
Lebuhraya Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) dan Lebuhraya Pesisiran
Pantai Barat (Taiping-Banting) dan pembinaan dijangka bermula tahun
hadapan. - Bernama, 10 Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment