Kadar jenayah turun mendadak pada awal 2000 sejurus apabila
kerajaan Sabah menjalankan operasi pembersihan petempatan setinggan
haram, kata bekas ketua menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat kepada
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram di negeri
itu.
Beliau yang mentadbir antara 2001 hingga 2003 berkata masalah
pendatang asing diketahui umum sebelum menyandang jawatan berkenaan,
kemudian mengusir pendatang asing termasuk mereka yang memiliki kad
pengenalan secara haram.
Bercakap depan lima panel diketuai bekas Hakim Besar Sarawak dan
Sabah, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, saksi ke-172 itu berkata, antara
kejayaan kerajaan pimpinannya ketika itu ialah menutup setinggan di
Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu dan Pulau Gaya.
"Bila pihak berkuasa masuk untuk bersihkan setinggan, kami dapati banyak senjata api.
"Seludup senjata api dan dadah antara jenayah yang dikaitkan dengan
petempatan setinggan. Kebanyakannya dibawa masuk dari Filipina," katanya
kepada inkuiri berkenaan.
Kerajaan Sabah, kata Chong, menerima kerjasama daripada Filipina dan Indonesia dalam urusan pemindahan pendatang.
Beliau berkata, tindakan turut diambil terhadap warga asing yang
memiliki kad pengenalan Malaysia dengan sebahagian pemiliknya langsung
tidak boleh bertutur bahasa penduduk tempatan.
"Tiada protes ketika kad mereka dirampas. Mereka tahu dokumen itu
palsu," katanya tetapi tidak mendedahkan bilangan pendatang asing yang
ditahan kerana jumlahnya 'sangat ramai.'
Chong berkata, tiada campur tangan politik pada operasi pembersihan
setinggan dilaksanakan walaupun mengakui memaklumkan operasi kepada
perdana menteri dan timbalannya.
Shim: Ketika setinggan ini dimusnahkan, apa tindakan kamu ambil untuk memastikan mereka tidak membina koloni di tempat lain?
Chong: Jika koloni itu besar, seperti Kampung Pondo di Pulau Gaya,
petempatan akan dibina untuk mereka daripada dana kerajaan Pusat. Jika
ia terlalu besar, mereka akan dipindahkan ke tanah besar milik kerajaan
negeri.
Beliau mengakui ketika proses berkenaan berlangsung, beliau tidak mendapat tidur yang cukup dan ia bukan tugas yang digemarinya.
Chong bagaimanapun enggan mengulas pertanyaan peguam Ansari Abdullah,
berkenaan ugutan bunuh yang diterimanya semasa mentadbir Sabah, yang
ketika itu beliau didakwa menerima sebutir peluru hidup. - 15 Julai,
2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment