Saturday, July 20, 2013

Shahrizat sahut cabaran Azalina


Shahrizat Abdul Jalil Shahrizat (kanan) semasa melawat dan menyampaikan sumbangan YKN kepada Abdul Mutalib.
BESUT – Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengalu-alukan hasrat bekas Ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said mencabar bagi merebut jawatannya pada pemilihan parti akan datang.

Shahrizat berkata, beliau tidak merasakan ia sebagai masalah kepadanya sebaliknya mengalu-alukan sekiranya terdapat lebih ramai lagi individu yang mahu bertanding bagi jawatan sayap parti itu.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang diamalkan oleh parti tersebut.

“Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja, seramai mana bukan sahaja Azalina tetapi sesiapa pun yang tawar diri dan tak jadi masalah bagi saya kerana lagi ramai lagi bagus sebab pada akhirnya Wanita akar umbi yang akan pilih.

“Saya rasa gembira apabila Azalina nak bertanding.

"Sila datang masuk gelanggang dan kita akan bertanding,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan  Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada Abdul Mutalib Saipi, 10, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Nail, Kuala Besut di sini, hari ini.

Dalam program Sentuhan Medik YKN itu, sumbangan lampin pakai buang untuk tempoh setahun serta beg menampung najis disalurkan kepada pesakit itu.

Shahrizat yang juga merupakan Ketua Wanita BN bagaimanapun berkata, beliau mahu mengingatkan Azalina supaya tidak bertanding dengan membawa mesej perpecahan di dalam sayap parti itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu cabaran merebut jawatan itu hingga menimbulkan perbalahan sesama sendiri.

Katanya, sekiranya Azalina mahu bertanding maka beliau menasihatkan supaya berkempen untuk semua dan bukannya cuba membawa transformasi orang muda.

“Saya tak mahu dengar Azalina nak bawa transformasi orang muda. Kalau hendak masuk, masuklah secara umum untuk membela Wanita.

“Kalau hendak (bertanding) kempen untuk semua jangan ada perpecahan antara Puteri, bekas Puteri dan Wanita. Ini akan menggalakkan perpecahan antara ibu dan anak maka tak cantik, tak berkat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau sedia duduk berbincang dengan Azalina berhubung perkara itu, Shahrizat menyatakan kesediaannya.

“Saya terbuka untuk apa sahaja kerana kita sebuah keluarga malah anggap dia macam anak dan adik saya.

“Cuma saya nak minta berhati-hati jangan ada perpecahan umpama anak nak bertanding dengan ibu. Itu sahaja pesanan saya,” katanya sambil memberitahu akan mempertahankan jawatannya itu.

Dalam perkembangan berasingan, Shahrizat berkata, Wanita BN akan memperhebatkan lagi kempen bagi PRK Dun Kuala Besut dengan menggerakkan jenteranya dari rumah ke rumah.

Menurutnya, beliau sendiri akan turut serta dalam kempen tersebut dengan kekuatan jentera tidak kurang daripada 600 orang.

“Kita pergi kempen rumah ke rumah untuk duduk bersama-sama dengan pengundi.

“Satu jentera kita jaga 30 pengundi kerana kita nak pastikan dekat dengan mereka,” katanya

No comments:

Post a Comment