Jangan
disangka orang yang bertubuh kecil tidak mampu membuat sesuatu yang
`besar', apatah lagi jika dia seorang wanita. Speaker dewan undangan
negeri wanita yang pertama di Malaysia, Hannah Yeoh hanya berdiri pada
ketinggian lima kaki, tetapi ternyata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
Subang Jaya itu berjaya mengumpul peminatnya sendiri.
"Baru-baru ini ketika saya di Sunway Pyramid, ada seorang budak
perempuan berusia 12 tahun datang kepada saya untuk meminta autograph.
Selepas tanda tangan, budak itu beritahu `I love you' kepada saya. Pada
ketika itu, hati saya terdetik bahawa saya bukan saja ahli politik,
tetapi role model kepada generasi muda," kata anak sulung tiga beradik
itu.
Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata, beliau sedar kesan peranan
yang dipegangnya bukan saja kepada keseluruhan generasi Malaysia tetapi
kepada dewan, kerana ini adalah pertama kali dalam sejarah, beliau
menjadi speaker dewan negeri paling muda iaitu pada umur 34 tahun.
Beliau mengambil pendekatan tegas tetapi baik hati kepada semua ahli
dewan.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata:"Dalam dewan,
kita ada mereka yang lebih tua daripada saya, sesetengahnya adalah
golongan Datuk dan Tan Sri. Saya mengendalikannya mengikut set peraturan
yang sama, tetapi, ada masanya kita perlu berbudi bahasa dan sopan."
Ketua Wanita DAP Selangor itu berkata, beliau tidak pernah terfikir
akan menjadi seorang speaker kerana sebagai lepasan jurusan
undang-undang, kelazimannya jawatan tertinggi yang diidamkan ialah
peguam atau hakim.
Katanya:"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi speaker. Tetapi
saya suka berada dalam peranan itu dan apabila saya toleh ke belakang,
saya rasa ini adalah yang terbaik untuk saya pada masa ini.
"Sebagai graduan undang-undang, anda sasarkan untuk menjadi sama ada
peguam terkenal atau hakim. Tetapi, saya tidak pernah terbayang saya
akan menjadi speaker dalam dewan di mana undang-undang dibuat di sini.
Ia seperti mimpi jadi kenyataan buat saya."
Apabila bercakap mengenai wakil Barisan Nasional, Yeoh dengan penuh yakin dan mudah merujuk mereka sebagai pembangkang.
"Saya mendapati sebagai wakil yang dipilih, apa yang mereka mahu
dalam dewan itu ialah untuk padangan mereka didengar. Saya boleh beri
itu. Saya juga sedar bahawa kali ini hanya ada 12 Adun daripada
pembangkang," katanya.
Yeoh berkata, beliau membenarkan lebih masa kepada Adun untuk berucap
kerana beliau percaya kepada keperluan memastikan periksa dan imbang
dalam persidangan dewan.
"Apabila perbahasan menjadi tegang, saya tidak memadamkan mikrofon.
Saya rasa Adun patut tahu menjaga tingkah laku mereka, apatah lagi
persidangan itu disiarkan secara langsung," katanya.
Tambahnya, beliau berpuas hati dengan perjalanan prosiding untuk enam
hari pada mesyuarat lalu apabila mereka boleh berbahas ucapan Sultan,
Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan dan usul yang dibawa oleh Adun.
Katanya:"Sebelum persidangan pertama bermula, saya bimbang kerana
tidak pasti sama ada saya boleh mengawal dewan apabila kedua-dua pihak
berdebat. Tetapi selepas hari pertama, saya rasa lebih tenang dan selesa
dengan peranan itu."
Ketika ditanya keadaan paling susah ketika mengendalikan sidang dewan
yang lalu, Yeoh berkata:"Mengawal diri daripada ketawa dalam keadaan
tertentu. Ada juga masanya saya terpaksa memotong soalan daripada Adun
yang kali pertama dilantik kerana tidak berkaitan dengan isu
perbincangan. Awak patut lihat air muka mereka. Ia tidak ternilai." - 12
Julai, 2013.
No comments:
Post a Comment