Badan
bukan kerajaan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hari ini mengingatkan
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar menerima
keputusan Mahkamah Tinggi mengenai A. Kugan dan memulakan pembaharuan
terhadap pasukan polis.
SUARAM mengingatkan Zahid mengenai hak asasi manusia seperti yang
termaktub dalam artikel 3 Deklarasi Hak Manusia Sejagat (UDHR) dan
artikel 5 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan “Tiada
orang yang boleh diambil nyawa dan hartanya melainkan berdasarkan
peruntukan undang-undang”.
“Adakah polis dan menteri yang bertanggungjawab mengambil berat
berhubung hak asasi ini?," kata Koordinator SUARAM R. Thevarajan dalam
satu kenyataan hari ini.
“Kes kematian Kugan sewaktu dalam tahanan polis jelas melambangkan
polis telah bertindak ganas dan menyalahgunakan kuasanya.Gambar dan
video Kugan sewaktu di bilik mayat kini tersebar luas di Internet di
mana terdapat darah dan buih keluar daripada mulutnya,” tambah beliau.
SUARAM turut menggesa kerajaan bertanggungjawab dan melakukan pembaharuan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kredibiliti kerajaan bakal terjejas di mata rakyat apabila mengemukakan rayuan terhadap keputusan penghakiman berkenaan.
Kerajaan dan polis harus menerima keputusan mahkamah dan mengambil
sepenuh tanggungjawab menyebabkan kematian tahanan semasa pengawasan
mereka.
Minggu lalu, Zahid memberitahu kerajaan akan mengemukakan rayuan
terhadap keputusan mahkamah yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi
Datuk VT Singham berhubung dengan kematian Kugan.
Singham dalam penghakimannya berkata Tan Sri Khalid Abu Bakar yang
menjadi Ketua Polis Selangor pada ketika itu bertanggungjawab atas
kematian Kugan empat tahun lalu.
Mahkamah telah mengarahkan pihak yang berkenaan membayar sejumlah
RM851,700 kepada ibunya, N. Indra atas penderitaan dan kesakitan yang
dialami oleh keluarga mangsa. - 1 Julai, 2013.TMI
No comments:
Post a Comment