Tribunal Rakyat (TR) selama lima hari bermula 18 September ini yang
dianjurkan Bersih 2.0 bagi mendedahkan penipuan dan memanggil saksi yang
terbabit semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu adalah platform
bagi rakyat untuk menghakimi PRU13, kata pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Rafizi Ramli berkata, penubuhan tribunal berkenaan bagi mengumpul bukti
penipuan yang berlaku semasa PRU13 lalu serta memberi ruang kepada
rakyat untuk tampil ke hadapan bagi mendedahkan sendiri penyelewengan
berkenaan kepada umum.
Pengarah Strategi PKR itu menambah, TR adalah platform terbaik kepada
rakyat selepas kerajaan negeri Selangor mewujudkan Suruhanjaya
Penyelewengan Pilihan Raya yang diketuai Timbalan Speaker Selangor, Nik
Nazmi Nik Ahmad sebagai alternatif kepada rakyat mendedahkan penipuan
dalam PRU13 lalu.
“Saya melihat TR sebagai medan terbaik kepada rakyat bagi menceritakan
pengalaman yang mereka alami serta mendedahkan bukti penyelewengan
PRU13. Pastinya kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui medianya akan
memperlekehkan hasil pendedahan TR.
“Namun kita harus faham, mereka berada pada pihak minoriti.
Rakyat
sendirilah bersama PR yang menjadi suarta majoriti menyalurkan maklumat
kepincangan PRU13 lalu,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider,
hari ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan langkah penubuhan
sebuah badan siasatan seperti TR seharusnya dipelopori oleh kerajaan BN
sendiri.
Bagimanapun, katanya, selepas keengganan BN menubuhkan satu Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penipuan pilihan raya, langkah pro
aktif Bersih ini sewajarnya dipuji.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, penerimaan kerajaan BN bukan
menjadi isu pokok namun pendedahan berkenaan dapat membuka mata
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mendedahkan penipuan kepada
masyarakat umum.
“Rakyat sendiri menghakimi perjalanan PRU13 sekiranya hasil pendedahan
TR ini enggan diterima oleh kerajaan BN kerana suatu ketika dahulu SPR
juga enggan menerima kelemahan dakwat kekal, namun selepas diasak
pelbagai pihak akhirnya SPR tanpa dapat berselindung lagi terpaksa
mengakui hal itu,” katanya.
Manakala DAP pula berpendapat meskipun penubuhan TR tiada di bawah
peruntukan undang-undang, pendedahan tribunal itu nanti mampu mecorak
perspektif rakyat berhubung tentang apa yang berlaku semasa PRU13.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata biarpun
pendedahan tribunal itu nanti tidak diendahkan kerajaan BN, saksi yang
tampil serta lebih banyak bukti dikemukakan, pastinya mampu menambah
keyakinan rakyat berhubung penipuan dalam pilihan raya jika selama ini
mereka tidak dapat memastikan kesahihan perkara berkenaan.
Semalam, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan
mengumumkan TR akan bermula 18 September bagi menyiasat dakwaan berlaku
penipuan pilihan raya seperti daftar pemilih yang tidak bersih serta
dakwat kekal yang mudah ditanggalkan.
Bersih mengumumkan enam ahli tribunal berpengalaman untuk mengendalikan
prosiding yang terdiri daripada tiga dari luar negara dan tiga warga
tempatan.
Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung
PBB di Kemboja, Yash Pal Gai selaku pengerusi; bekas Timbalan Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak
Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus
(AIPMC).
Tiga ahli tempatan ialah Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi
Malaya, Datuk Azzat Kamaludin; bekas profesor Fakulti Ekonomi dan
Pentabdiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen
Shastri, Setiausaha Agung Lembaga Gereja Malaysia (CCM). – 26 Julai,
2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment