Ramadan
melabuhkan tirainya bukan sahaja satu simbol kemenangan bagi umat Islam
setelah berpuasa selama sebulan dengan menahan hawa nafsu daripada
makan dan minum namun ianya juga sebagai satu pendekatan kepada dua ahli
parlimen Pakatan Rakyat (PR) bukan Islam bagi memahami dan mendalami
kesusahan umat Islam berjuang menghadapi Ramadan.
Dua ahli parlimen yang dimaksudkan ialah Ahli Parlimen DAP Serdang Dr
Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen PKR Batu Chua Tian Chan atau Tian Chua
yang hampir berpuasa penuh sepanjang Ramadan sambil merasai sendiri
pengalaman bersahur dan berpuasa sebagai ahli parlimen dalam bergelumang
dengan kerenah masyarakat dari siang ke malam.
Ong
yang meraih undi ketiga tertinggi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
lalu mendapati sambutan Hari Raya kali ini sangat bererti kepada
dirinya kerana pertama kali bergelar ‘Yang Berhormat’ di kawasan yang
mempunyai lebih 50,000 pengundi Melayu selain berjaya berpuasa di
kebanyakan hari dalam bulan Ramadan.
Katanya, berpuasa bukan sahaja memberi faedah dari segi fizikal dan
kerohanian namun beroleh semangat solidariti dengan komuniti yang lebih
besar.
“Ramai bertanya adakah perbuatan saya berpuasa semata-mata satu
sandiwara politik namun pada hakikatnya amalan ini telah saya amalkan
sejak Ramadan lalu dengan mengehadkan pengambilan makanan pada siang
hari.
“Sebab utama saya berpuasa adalah bagi mengukuhkan kawalan kendiri dari
segi kawalan pemakanan dan juga merasai sendiri pengalaman orang Islam
bagaimana mereka menahan daripada makan dan minum. Inilah masa terbaik
bagi meraikan Ramadan bersama 60 peratus populariti umat Islam di
Malaysia.
“Saya bersahur pada jam 5 pagi setiap hari dan berbuka pada waktu
Maghrib bersama rakan beragama Islam mahupun menghadiri majlis berbuka
puasa bersama penduduk di Serdang.
"Sebelum ini saya sukar membayangkan untuk tidak minum selama 12 jam
terutama menjadi seorang ahli parlimen yang perlu menghadiri sesi
perdebatan ketika minggu pertama Ramadhan. Begitu juga berjumpa dengan
pengundi dan media bagi menjelaskan sesuatu isu. Lama-kelamaan saya
dapat membiasakan diri dengan tidak minum di siang hari,” katanya dalam
satu artikel yang dihantar kepada The Malaysian Insider.
Katanya, keletihan pada waktu tengahari memang tidak dapat dielakkan
terutama dua jam terakhir sebelum waktu berbuka puasa namun itulah
cabaran bagi menjelaskan kepada rakan bukan Islam ketika bertemu mereka
di waktu makan tengahari dan melihat mereka makan.
Beliau menjelaskan rakan-rakan beragama Islam banyak memberi galakan
untuk berpuasa melalui Facebook dan Twitter mahupun pengundi di kawasan
Serdang kerana kebanyakan mereka tidak pernah bertemu dengan orang bukan
Islam yang berpuasa secara sukarela.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi Shafie Ngah merupakan individu
yang selalu memberi galakan untuk saya berpuasa dengan mendoakan diberi
kekuatan untuk berpuasa.
“Pengalaman berbuka puasa di surau dan masjid menjadikan saya lebih
dekat dengan penduduk yang penuh dengan rasa kekitaan dalam semangat
berpuasa. Majlis berbuka puasa yang saya hadiri berbeza dengan buffet
Ramadan di hotel mewah yang menyajikan pelbagai jenis hidangan.
“Saya merasakan semangat bermasyarakat ketika memberikan sumbangan raya
kepada penduduk yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal dan warga
emas,” katanya.
Ahli strategi DAP itu menambah Ramadan kali ini tidak akan sempurna
tanpa sokongan daripada isteri tercinta yang menyediakan sahur pada jam 5
pagi setiap hari dengan menu seperti buah-buahan, bubur dan roti.
Katanya, banyak kenangan yang beliau peroleh semasa Ramadan antaranya
ialah dapat berborak lebih lama bersama isteri semasa waktu sahur selain
mendalami Bible dan membaca terjemahan surah A-Baqarah.
Sementara itu, Tian Chua semasa dihubungi The Malaysian Insider
menjelaskan orang bukan Islam berpuasa sebenarnya tidak menjadi isu
kerana agama lain juga mempunyai amalan berpuasa namun amalan itu bagi
agama lain lebih bersifat individu seperti menunaikan hajat.
Katanya, berpuasa dalam Islam lebih menekankan aspek kebersamaan iaitu
amalan puasa dilakukan oleh semua orang Islam yang mencukupi
syarat-syaratnya.
“Hampir setiap tahun saya berpuasa sebagai tanda solidariti dengan
rakan yang beragama Islam kerana sebagai ahli politik terlalu banyak
menggunakan mulut seperti bercakap dan makan kenduri tanpa melakukan
senaman, jadi dapat megurangkan beban perut supaya berehat.
“Pagi bersahur saya akan banyak minum air dan makan banyak buah-buahan
kerana pada jam 12 tengah malam sebilangan rakyat Malaysia masih
menikmati hidangan tengah malam,” katanya.
Semua pengalaman ini menjadikan mereka rapat dengan umat Islam yang
berpuasa dan berhari raya selepas menunaikan puasa. - 8 Ogos, 2013. TMI
Jika ditakdir, Allah swt nak beri hidayah kepada dua MP ni memeluk Islam,itu didalam Ilmu Allah belaka,semoga puasa mereka membuka jalan ke pintu Islam untuk menjadi seorang Muslim.Doakan.
ReplyDelete