Anak
kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri
Abdul Aziz (gambar) iaitu Nedim Mohamed Nazri yang sebelum ini
disenaraikan sebagai pegawai khas kementerian itu kini bertukar menjadi
pegawai khas kepada ahli parlimen Padang Rengas selepas portal rasmi
kementerian dikemaskini pada 16 Ogos.
Sebelum
ini, timbul kontroversi apabila portal rasmi Kementerian Pelancongan
dan Kebudayaan Malaysia menyatakan Nedim sebagai pegawai khas kepada
bapanya.
Kontroversi timbul kerana ramai pihak mendakwa Nazri mengamalkan
nepotisme dengan membawa ahli keluarganya bekerja di kementerian.
Agensi berita nasional Bernama melaporkan semalam Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak mengatakan menteri tidak boleh mengambil ahli keluarga
bertugas di kementerian.
"Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh ditempatkan di pejabat menteri," katanya.
Najib bagaimanapun berkata tiada masalah jika seseorang menteri atau
anggota pentadbiran kerajaan mengambil anggota keluarganya sebagai
pembantu jika ia tidak membabitkan sebarang pembayaran gaji atau elaun
oleh kerajaan.
Perubahan dalam portal rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
mengenai kedudukan Nedim dilihat selari dengan kenyataan Najib semalam.
The Malaysian Insider melaporkan pada Rabu penjelasan Nazri bahawa
Nedim tidak dibiaya oleh kerajaan. Menurut Nazri, gaji Nedim dibayar
sendiri olehnya.
Nazri menjelaskan enam pegawai lain di kementeriannya dibayar oleh
kerajaan seperti Datuk Azlinda Mohd Rashad (setiausaha sulit kanan), Dr
Jurij Jalaludin (setiausaha sulit), Datuk Mohamed Ismail Mohamed Othman
(setiausaha politik), Ahamad Fazli Ahamad Nordin (setiausaha akhbar),
Suzana Akmam Selamat Amir (pegawai tugas khas) dan Shahadan Osman
(pegawai pengiring).
Nazri turut memberitahu beliau tidak akan menggugurkan jawatan anaknya
semata-mata untuk menggembirakan sesetengah pihak malah kedudukan beliau
dahulu sebagai peguam membuatkannya faham situasi tersebut.
Katanya, beliau boleh meletakkan sesiapa sahaja dalam kementeriannya
dan gembira melantik anak sendiri sebagai pegawai khas. - 18 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment