myMetro 8 Ogos 2013
Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki untuk
mencuri seutas rantai emas dari sebuah kedai emas di Pasar Keramat, di
sini, semalam, berakhir dengan dia cedera di paha akibat ditembak
pemilik kedai emas berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, suspek yang
memakai topi bola lisut pada mulanya berpura-pura mahu membeli barang
kemas.
Isteri pemilik kedai berkenaan, Norliza Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya yang berusia 64 tahun berada di dalam kedai sebelum didatangi suspek yang berbadan tegap.
“Lelaki memakai topi itu meminta saya mengeluarkan rantai paling
berat dan saya mengeluarkan rantai seberat 45.47gram berharga RM7,440.
“Dia membelek rantai berkenaan sebelum melarikan diri dan saya dan suami mengejarnya kira-kira 150 meter dari kedai,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian jatuh selepas terlanggar batu pembahagi jalan, namun masih melawan apabila diminta menyerahkan semula rantai yang dicuri.
“Ketika suami saya mengeluarkan pistol dari pinggangnya untuk
mempertahankan diri, dia terlepas tembakan dan mengenai paha kiri lelaki
itu.
“Suami saya ada lesen untuk pistolnya sejak dua tahun lalu dan sentiasa membawa pistol bersamanya, tapi ini kali pertama dia menggunakan pistol itu,” katanya.
Norliza berkata, dengan bantuan orang ramai suspek berjaya
ditangkap dan diserahkan kepada anggota polis yang tiba di lokasi
kejadian. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur,
Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang berusia 26 tahun kini dirawat di
Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan stabil.
“Semakan mendapati pemilik kedai itu memiliki lesen senjata api dan suspek pula ada rekod membabitkan kes dadah,” katanya.
No comments:
Post a Comment