Putrajaya meminta maklumat 197 pengguna laman sosial daripada Facebook namun tiada satu pun daripadanya yang dipenuhi.
Semakan The Malaysian Insider terhadap "Global Government Requests
Report" yang dikeluarkan Facebook semalam mendapati, selain Malaysia,
negara Asia Tengara (Asean) lain yang turut memohon maklumat pengguna
ialah Singapura (117) dengan sejumlah (70 peratus data diberikan),
Filipina (4) (25 peratus), Thailand (5) (0 peratus) dan Kemboja (1) (0
peratus).
Bagaimanapun, Facebook tidak mendedahkan dengan lengkap jenis permohonan yang dibuat kerajaan.
Negara tertinggi membuat permohonan adalah Amerika Syarikat dengan
sejumlah 20,000 - 21,000 permohonan, dan 79 peratus data diberikan oleh
Facebook.
Menurut kenyataan Facebook itu, laporan itu dikeluarkan bagi tempoh enam bulan tahun 2013 yang berakhir pada 30 Jun.
Menurut peguam Facebook, Colin Stretch dalam kenyataan itu juga
berkata, pihaknya menolak permohonan yang tidak mempunyai asas kukuh.
"Seperti yang kami maklumkan, kami percaya bahawa walaupun kerajaan
mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan rakyat selamat, ia
adalah mungkin untuk berbuat demikian pada masa sama menjadi telus.
"Ketelusan kerajaan dan keselamatan awam bukan idea cita-cita yang
saling eksklusif. Setiap satunya boleh wujud pada masa sama dalam
masyarakat yang bebas dan terbuka, dan mereka membantu menjadikan kita
lebih kuat.
"Kami amat menggalakkan semua kerajaan untuk menjadi lebih telus
mengenai usaha mereka yang bertujuan untuk menjaga keselamatan awam, dan
kami akan terus menjadi penyokong agresif untuk pendedahan lebih
besar,” katanya.
Percubaan The Malaysian Insider untuk menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menemui kegagalan.
Terdapat beberapa kes individu ditahan disebabkan kenyataan menghina
yang dikeluarkan di laman Facebook milik mereka, antaranya seorang
wanita yang menggunakan nama "Melissa Gooi" dalam Facebook dikatakan
menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Selain itu, Ahmad Abd Jali yang dikatakan menghina Sultan Johor di
laman Facebook didakwa menjadi miliknya turut ditahan, namun dibebaskan.
Kes blogger lucah Alvin Tan dan Vivian Lee turut ditahan kerana memuat
naik gambar "berbuka puasa dengan Bak Kut Teh" ketika Ramadan dan
dikatakan menghina umat Islam di negara ini.
Pasangan Tan dan Lee masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh dan
Penjara Kajang pada 18 Julai lepas selepas Hakim Mahkamah Sesyen
Murtazadi Amran tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Seminggu kemudiaan, pasangan tersebut dibebaskan daripada penjara
selepas Mahkamah Tinggi membenarkan kedua-dua diikat jamin RM30,000
dengan dua penjamin setiap orang.
Pasangan terbabit berhadapan tiga pertuduhan, iaitu berkaitan dengan
penyiaran gambar mereka makan hidangan daging babi dengan mengucapkan
kepada umat Islam 'Selamat Berbuka Puasa' di Facebook dan memuat naik
gambar lucah di blog mereka. - 28 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment