Fenomena pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus dijangka dapat
dilihat di ruang angkasa negara ini malam esok sehingga subuh pada hari
Selasa.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa)
Mhd Fairos Asillam berkata pancuran meteor Perseid antara paling menarik
kerana cahayanya terang dan boleh dilihat dengan mata kasar di kawasan
lapang.
"Pancuran meteor berlaku apabila bumi melintasi laluan komet dan
menyebabkan debu-debu komet ini terbakar apabila memasuki atmosfera
bumi.
"Bagi pancuran meteor Perseid, ia berlaku kerana bumi melintasi laluan
komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus lebih kurang 26
kilometer," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata apabila komet itu semakin menghampiri matahari, ia juga
turut melintasi orbit bumi dan meninggalkan debu-debu komet sepanjang
perjalanannya.
"Debu-debu inilah yang akan memasuki atmosfera bumi dan menghasilkan
pancuran meteor yang dapat dilihat dengan mata kasar," katanya.
Beliau berkata waktu terbaik menyaksikan hujan meteor itu ialah selepas
bulan terbenam bermula 11 malam. – Bernama, 11 Ogos 2013.
No comments:
Post a Comment