Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri sedia
bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi menangani kumpulan Panji
Hitam Langkasuka.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata orang ramai yang
mempunyai maklumat mengenai kumpulan itu diminta memaklumkannya kepada
Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.
"Melalui perkembangan terkini yang berlaku semalam, kumpulan berkenaan
dilihat semakin berani untuk menterjemahkan ideologi mereka dalam bentuk
tindakan bagi menyatakan hasrat mereka," katanya dalam kenyataan hari
ini.
Semalam, polis menahan 10 individu yang mendakwa anggota kumpulan Panji
Hitam dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara, di luar pintu Istana
Negara kerana dipercayai cuba melancarkan rampasan kuasa terhadap Yang
di-Pertuan Agong.
Kumpulan itu yang turut dianggotai dua wanita dan berpakaian serba
hitam tiba di Pintu 1, Istana Negara, pada 4.10 pagi menaiki tiga
kenderaan yang turut dipasang bendera dan kain rentang serba hitam
tertulis Kerajaan Langkasuka Nusantara.
Menurut Othman, meskipun doktrin yang dibawa kumpulan berkenaan jelas
bertentangan dengan fakta sejarah dan menyeleweng dari sudut agama,
termasuk doktrin raja utusan Allah dan tentera Al-Mahdi, namun mereka
diyakini mempunyai pengikut yang setia.
"Gerakan ini mula dikesan sejak awal menerusi media-media sosial yang
didedahkan serta dikongsi bersama masyarakat, walaupun ia dilihat
sebagai perkara yang tidak masuk akal," katanya.
Beliau berkata, oleh kerana kumpulan ini telah mencetuskan isu
keselamatan, pihak keselamatan wajar mengambil tindakan. - Bernama, 6
Ogos, 2013.
No comments:
Post a Comment