Friday, August 16, 2013

Laluan sukar menanti Najib selepas perbincangan kerajaan perpaduan terdedah

August 16, 2013
 
Permusuhan terhadap Datuk Seri Najib Razak (gambar) dijangka menular dalam Umno bagi tempoh beberapa minggu akan datang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiyakan pembangkang berbincang secara rahsia dengan perdana menteri Malaysia itu untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Majalah digital The Edge Review hari ini melaporkan bahawa dua strategi yang dilakukan Najib iaitu memberi habuan politik kepada `warlords’ dan penyokong utama dengan pelbagai jawatan dan rundingan rahsia dengan Anwar menerusi pegawai khas yang dipercayai dan ahli politik Indonesia, tidak berjalan dengan baik bagi perdana menteri ke-6 itu.

Difahamkan perbincangan rahsia itu dikendalikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail – kedua-duanya adalah sahabat baik dari zaman Pemuda Umno mereka.


 “Tindakannya  untuk mengukuhkan kedudukan politik dalam Umno mengasingkan persempadanan utama dalam parti dan menimbulkan kemarahan di kalangan individu berkuasa, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin, yang secara tertutup mendorong kepada perubahan kepimpinan,” kata majalah digital itu dalam edisi mingguannya yang terkini.

 “Anwar, ditendang keluar dari Umno oleh Dr Mahathir pada 1998, dilihat sebagai lawan yang sering mencerca oleh golongan elit Umno, dan penganalisa berkata tindakan Najib untuk membuka ruang berbincang dengan ketua pembangkang itu pastinya dilihat sebagai pengkhianatan kepada parti,” tambahnya dalam laporan bertajuk `Malaysia’s political tensions set to escalate’.

Majalah itu berkata, perkembangan terbaru itu boleh memberi kesan terhadap pertempuran kepimpinan apabila Umno mengadakan pemilihan partinya pertengahan Oktober depan.
Pembantu rapat perdana menteri mengakui bahawa tempoh tiga bulan akan datang akan menjadi sangat penting, kata majalah itu.
“Jika beliau berjaya dalam pemilihan Umno, maka beliau akan dapat lihat mandat yang diberikan,” kata seorang penasihat Najib, yang turut menyatakan kumpulan menentang perdana menteri  itu semakin membesar setiap hari.

Majalah itu menyatakan Malaysia terperangkap dalam keadaan politik yang menakutkan sejak 2008, apabila Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno hilang pegangan majoriti dua pertiganya di Parlimen.

Umno meletakkan kesalahan kepada kelemahan pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badwi dan memaksanya melepaskan jawatan kepada Najib pada April 2009. Masalah Najib ialah beliaumendapat sokongan lebih teruk dari pengundi berbanding Abdullah, kata The Edge Review.

Barisan pimpinan Najib bukan saja gagal memperbaiki bilangan barisan mereka di Parlimen, tetapi ia juga kalah dalam undi popular, hanya memperolehi 47 peratus berbanding 51 peratus undi popular milik pembangkang. Ia menjadi jumlah paling teruk diperolehi BN sejak kemerdekaan pada 1957, kata majalah itu.
“Masalah utama PM ialah kegagalan keputusan pilihan raya umum lalu belum dapat dipulihkan. Beliau datang sebagai pemimpin yang lemah, bukan saja kepada parti tetapi keseluruhan negara,” kata ahli perniagaan Malaysia yang terkenal, dan mempunyai hubungan baik dengan Najib sekeluarga, kepada majalah itu.

The Edge Review berkata, Najib mengekalkan cara rendah diri sejak pilihan raya umum, jarang muncul di kalangan awam dan mengambil pendekatan berdiam diri dalam beberapa cabaran yang melanda negara seperti kemerosotan ekonomi, peningkatan kadar jenayah dan polarisasi perkauman.

Beliau belum lagi menambah ketegangan agama yang kini semakin membesar, terutama di kalangan kumpulan Islam berhaluan kanan yang menunjukkan hanya sedikit toleransi dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan etnik, kata majalah itu.
Kerajaan Najib juga gagal mengemukakan cadangan lebih jelas bagaimana mengendalikan situasi keselamatan negara yang semakin membimbangkan, apabila jumlah kejadian tembak dan pembunuhan meningkat secara mendadak dalam beberapa bulan terakhir ini, tambahnya.

Majalah itu berkata, satu lagi cabaran besar ialah masalah ekonomi negara, hutang sektor awam yang meningkat, yang menyebabkan awal bulan ini Fitch Ratings merendahkan pengadaran kredit negara dari kepada `negatif’ daripada `stabil’.
“Teguran Fitch itu menyebabkan mata wang tempatan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat, dan jika Najib tidak mengambil tindakan tepat untuk menangani kewangan awam negara dalam bajet akan datang, ahli ekonomi berkata, Malaysia mungkin terpaksa mendapatkan dana asing.

“Melihat kepada keadaan kepimpinan itu, paralisis polisi dan tekanan sosial mendalam, prospek terhadap pembentukan kerajaan perpaduan untuk Malaysia kelihatan lebih menarik, kata beberapa ahli ekonomi,” tulis majalah itu.
Majalah itu berkata, mereka sudah menyiarkan berita mengenai kemungkinan perjanjian damai antara Najib dan Anwar pada April, tetapi ia tidak diendahkan oleh media arus perdana negara ini.

“Ahli politik Umno dan pegawai khas Anwar berkata, perbincangan itu yang diuruskan bekas naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendapat momentum baru beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kedua-dua pemimpin politik Malaysia itu masing-masing melantik wakil untuk menyenaraikan butiran terperinci yang mungkin boleh membentuk proses perdamaian,” katanya.

The Edge Review melaporkan ahli politik berkata, wakil Najib iaitu Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sudah beberapa kali mengadakan perbincangan tertutup dengan Saifuddin.
“Mesyuarat terakhir antara kedua-dua wakil itu ialah pada pertengahan Julai, selepas Jusuf Kalla mengadakan perbincangan berasingan dengan Najib dan Anwar, kata sumber terdekat dengan perbincangan itu.
“Dalam sesi itu, Zahid menyampaikan permintaan Najib supaya Anwar secara umum memaklumkan bahawa beliau terbuka untuk perbincangan perdamaian dengan parti pemerintah,” kata laporan The Edge Review.

Permintaan Najib yang lain ialah  Anwar secara umum mengiktiraf keputusan pilihan raya umum pada Mei lalu, beritahu seorang ahli politik yang rapat dengan perbincangan antara Zahid dan Saifuddin kepada majalah itu.
Anwar akhirnya bersuara mengenai perbincangan itu minggu ini, apabila beliau dipetik menerusi portal berita Asia Sentinel bahawa Najib ada memintanya untuk melihat kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan.

Asia Sentinel memetik Anwar sebagai berkata, beliau memberitahu Najib bahawa kerajaan perlu menghentikan serangan perkauman oleh kumpulan yang dikawal Umno terhadap masyarakat Cina dan India sebelum sebarang perkembangan mengenai kerajaan perpaduan dapat dilakukan.

“Saya kata isu asas perlu diselesaikan, akhiri perkara perkauman. Perlu ada komitmen yang jelas untuk reformasi dan perubahan,” Anwar berkata kepada Asia Sentinel, dan menambah beliau belum menerima maklum balas daripada Najib.
Beberapa rakan lama Najib memberitahu The Edge Review mereka tahu mengenai perbincangan itu, tetapi mereka tidak percaya ia membabitkan terlalu banyak perkara.

“Ia tidak akan berlaku kerana Umno tidak akan membenarkanya,” kata seorang pegawai bank kanan yang sering memberi nasihat mengenai ekonomi utama negara.
Tetapi, majalah itu berkata, masih kurang jelas bagaimana reaksi golongan eliti Umno terhadap urusan rahsia Najib dengan Anwar dan petanda pertama akan hanya muncul dalam mesyuarat bahagian parti yang akan bermula Oktober depan.

Majalah itu memetik Pengarah Merdeka Center, firma kajian pendapat di Malaysia, Ibrahim Suffian yang berkata, pembuka kata Najib terhadap perbincangan terbuka dengan Anwar boleh memberi dua kesan berbeza dalam satu masa.
“Ini mungkin cara beliau menyampaikan pesanan bahawa beliau bersedia untuk membuka sisi baru untuk mengurangkan kehilangan sokongan dalam Umno,” katanya kepada The Edge Review. “Tetapi, ia juga risiko amat besar, kerana ia dengan mudah merangsang pembangkang terhadapnya.” – 16 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment