Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menegaskan Perkara 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan bahawa “Mahkamah Tinggi sivil tidak mempunyai
bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah
Syariah”, yang memberi maksud keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh
disentuh atau digugat oleh Mahkamah sivil.
Presidennya, Musa Awang, berkata keputusan Pesuruhjaya Kehakiman
Mahkamah Tinggi Ipoh, Lee Swee Seng yang membatalkan pengislaman tiga
anak M Indira Gandhi (gambar) dan Muhammad Ridzuan Abdullah tidak
memberi kesan kepada hak penjagaan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi
Syariah Ipoh pada April 2009 yang memberi hak penjagaan tiga beradik itu
kepada Mohd Ridzuan.
Katanya, keputusan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan Indira
hanya menyentuh aspek prosedur yang mungkin tidak dipatuhi, tetapi
tidak bermaksud pengislaman kanak-kanak itu tidak sah dari segi
undang-undang dan hukum Syarak.
“Semakan kehakiman adalah daripada segi prosedur. Keputusan dibuat oleh
Mahkamah Tinggi belum muktamad kerana perkara ini masih terbuka kepada
rayuan dan keputusan mahkamah yang lebih tinggi.
“Saya bersetuju satu rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah
Tinggi Ipoh itu. Ini kerana dalam penghakiman itu terdapat suatu isu
baru yang perlu diputuskan oleh mahkamah lebih tinggi.
“Permohonan yang difailkan Indira ialah permohonan semakan kehakiman
terhadap prosedur kemasukan Islam di jabatan agama Islam, sama ada
mematuhi kehendak undang-undang atau tidak,” katanya dalam satu
kenyataan khas kepada The Malaysian Insider.
Musa berkata, isu baru yang perlu diputuskan mahkamah lebih tinggi
ialah sama ada pengislaman tiga anak berkenaan mengikut perlembagaan dan
hak asasi kerana tidak dilakukan di hadapan ibu dan anak-anak.
Minggu lalu, bekas suami Indira, Muhammad Ridzuan berkata, beliau akan
membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan
pengislaman ketiga-tiga anaknya.
Peguam kepada Muhammad Ridzuan, Hatim Musa mengesahkan menerima arahan
itu daripada anak guamnya yang tidak hadir ke mahkamah ketika hakim
memberikan keputusan.
Swee Seng dalam penghakimannya selama 1 jam 40 minit menetapkan
perakuan memeluk Islam ke atas ketiga-tiga anak Indira Gandhi iaitu Tevi
Darsiny, 16, Karan Dinish, 15, dan Prasana Diksa, 5, sebagai terbatal
dan tidak sah.
Beliau berkata, pengislaman itu turut tidak mengikut Perlembagaan
kerana bertentangan dengan keadilan asasi ekoran pendaftaran itu tidak
dilakukan di hadapan Indira dan anak-anaknya.
Swee Seng berkata, di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004
menghendaki anak-anak Indira hadir untuk mengucapkan dua kalimah
syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman itu dilakukan.
Indira, seorang guru tadika, berkahwin dengan K Patmanathan kini 20 tahun dahulu mengikut ritual Hindu.
Enam tahun selepas perkahwinan, pada 11 Mac, 2009, suaminya memeluk Islam dan menukar nama kepada Muhammad Ridzuan.
Sebulan selepas itu, beliau menukar agama ketiga anak-anaknya di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Ipoh, Perak.
Penukaran agama itu tanpa pengetahuan Indira.
Pada bulan sama, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak kepadanya.
Mereka akhirnya bercerai dan suaminya mengambil anak bongsu yang berumur setahun bersamanya.
Indira kemudiannya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Mahkamah
Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepada ayah dan pada Julai
2010, beliau menang kes walaupun terdapat bantahan keras Peguam Negara.
Walaupun menang, suaminya tidak memulangkan anak perempuan bongsu mereka.– 2 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment