Pemuda Umno menolak cadangan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit
Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebaliknya menggesa
Putrajaya supaya menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengutip balik
semula pinjaman PTPTN.
"Pergerakan Pemuda Umno tidak bersetuju dengan
pendirian Kerajaan, yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II Datuk
Seri Idris Jusoh.
"Pada pandangan Pemuda Umno, Kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala
mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam
yang masih berkeras dan tidak mengambil endah tuntutan pembayaran balik
yang dikeluarkan," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Belia dan Sukan itu juga berkata Putrajaya juga perlu menimbangkan situasi semasa peminjam PTPTN.
"Bahkan, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga
mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran
anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam," tegasnya lagi.
Pinjaman PTPTN adalah sebuah keperluan dan berbeza dengan
pinjaman-pinjaman lain serta tidak wajar kaedah sama digunakan untuk
mengutip semula hutang pinjaman pendidikan tersebut, menurut Khairy
lagi.
"Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti
hutang kad kredit atau kenderaan kerana ia tidak tergolong dalam
pinjaman berasaskan pilihanan peribadi.
"Harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana Kerajaan
tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian
tinggi," tegasnya lagi.
Selain itu, Khairy juga berkata pendidikan adalah keperluan untuk
golongan muda dan langkah melaksanakan CCRIS akan memberi tanggapan
negatif terhadap kerajaan.
"Kumpulan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik
adalah kecil dan tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi
tanggapan umum yang negatif kepada segala gerak kerja PTPTN," tambahnya.
Semalam, Idris semasa mengumumkan langkah tersebut berkata, menerusi
pendekatan melalui CCRIS, peminjam PTPTN ingkar berkenaan akan menerima
kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan
kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.
Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai pihak termasuk badan bukan
kerajaan, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) dan juga aktivis mahasiswa
membidas Idris kerana langkah tersebut akan menindas golongan belia.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata selain menghukum
peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga
akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam
perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
PR juga turut membidas kenyataan Idris tersebut dengan mengatakan ia
satu bentuk penindasan kepada peminjam PTPTN serta sebaliknya
menegaskan kerajaan wajar menangani masalah peningkatan kos sara hidup
yang menjadi beban utama golongan muda.
PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar sejak 1
Julai 1997 sehingga 30 Jun lalu, dengan amaun keseluruhan berjumlah
RM49.9 bilion.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment