Tuesday, August 6, 2013

Sentuh anjing dalam keadaan ‘basah’ menghina Islam, kata Jakim

Oleh Md Izwan
August 05, 2013
 

Tindakan jurulatih anjing, Maznah Mohd Yusof yang menyentuh haiwan tersebut dalam keadaan basah dan suara latar takbir raya dalam video tersebut adalah menghina Islam, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini.

Jakim menerima kritikan hebat peguam Maznah ataupun dikenali sebagai Chetz tersebut kerana disifatkan sebagai melampau, menyalahi undang-undang dan menghina dasar kehakiman negara yang memberi hak mempertahankan diri kepada suspek.

"Melalui kaitan video tersebut, cara mempersembahkan sesuatu tersebut boleh dianggap menghina kerana menyentuh soal ibadat dengan najis mughalazah (berat) apabila disentuh dalam keadaan basah," kata Ketua Pengarah Jakim, Datuk Haji Othman Mustapha dalam satu kenyataan media kepada The Malaysian Insider hari ini.

 Selain itu, Jakim juga mempersoalkan tindakan Maznah yang memuatkan suara takbir raya dalam video tersebut walhal ia sama sekali bertentangan dengan konsep suci Islam.
"Harus diingat menyambut hari raya juga adalah satu Ibadat.
"Perbuatan tersebut apabila divideokan seolah-olah cuba memperlihatkan ia sebagai cara konsep suci dalam Islam padahal ia sama sekali bertentangan," ujarnya lagi.

Othman bagaimanapun tidak mempersoalkan belas kasihan dan berbuat baik terhadap haiwan adalah perbuatan mulia, cuma tindakan yang cuba disampaikan oleh Maznah adalah salah disisi Islam.
"Pada pandangan Jakim, belas kasihan dan berbuat baik terhadap makhluk termasuk haiwan di atas muka bumi ini adalah perbuatan mulia.

"Pandangan Islam terhadap binatang termasuk cara kita melayani adalah sama cuma konsep penyucian berbeza dan apa yang cuba ditunjukkan oleh beliau adalah salah dan dilihat disengajakan apatah lagi ia divideokan untuk tontonan umum," terang Othman lagi.
Menurut Othman, pihak Jakim telah menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya serta akan memanggil Maznah dalam masa terdekat untuk memberikan nasihat kepadanya.

"Disamping itu, dalam masa terdekat Jakim dan pihak berkuasa agama negeri yang berkenaan bercadang untuk memanggil Puan Maznah Yusof bagi mendapatkan penjelasan dan memberikan nasihat kepada beliau," katanya lagi.

Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjingnya dimuat naik dalam YouTube.
Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing itu)."
Tidak lama selepas itu, video termasuk mendapat perhatian pihak berkuasa dan Maznah telah ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat selama dua hari untuk soal-siasat sebelum dibebaskan pada Jumaat lepas.

Malah, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan membidas kerajaan sebagai "terlebih bertindak" dalam tindakan mereka berhubung video kontroversi berkenaan apabila menjadikan video itu sebagai isu nasional.

"Sepatutnya dipanggil dan beri nasihat supaya dia (Maznah) jelaskan. Panggil bagi teguran. Jangan jadikan isu nasional," kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.
Kenyataan Anwar itu dikeluarkan selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meutuskan video berkenaan menghina Islam dan akan mengambil tindakan terhadap Maznah. - 5 Ogos, 2013.
The Malaysian Insider

1 comment: