3 Ogos 2013
WAKIL rakyat pemerintah dan pembangkang bergusti di lantai Parlimen Taiwan di Taipei semalam.- AP
|
TAIPEI - Wakil rakyat Taiwan bertindak membaling air dan bergusti
sesama mereka dalam satu pergaduhan di Parlimen semalam berhubung isu
pembinaan sebuah lagi loji nuklear di negara itu.
Berpuluh-puluh wakil rakyat pemerintah dan pembangkang bergaduh
semasa mereka cuba merampas podium. Mereka saling membaling air botol
dan cawan plastik.
Dua wakil rakyat turut jatuh ke lantai semasa mereka bergelut dalam
insiden memalukan itu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Parlimen Taiwan dijadual mengundi untuk mengadakan referendum bagi
menghentikan pembinaan loji nuklear keempat itu yang dikenali sebagai
Nuke 4 dekat sini.
Namun, parti pembangkang, Parti Demokratik Progresif (DPP)
memberitahu, pengundian tersebut akan ditangguhkan ke minggu hadapan
ekoran pergaduhan tersebut.
DPP menentang pembinaan loji itu kerana faktor keselamatan. Namun,
parti pemerintah, Kuomintang memberi amaran pemansuhan fasiliti itu akan
menyebabkan kekurangan bekalan kuasa dan menjejaskan sektor ekonomi.
Insiden terbaharu itu turut mencetuskan kritikan awam dalam forum di internet dan laman web sosial.
"Parlimen ini lebih kelam-kabut daripada sebuah pasar dengan
wakil-wakil rakyat memperbodohkan diri mereka sendiri," kata seorang
pembaca akhbar China Times, Dick Wang.
Kebimbangan mengenai loji nuklear itu meningkat sejak reaktor nuklear
Fukushima bocor selepas bahagian timur laut Jepun dilanda tsunami pada
tahun 2011. - AFP
No comments:
Post a Comment