Keengganan
Putrajaya membenarkan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya
(PKM) Chin Peng pulang ke Malaysia, menyebabkan ianya akan diagihkan
kepada anak, cucu dan rakan seperjuangannya di Bangkok hari ini.
Bekas pemimpin komunis itu meninggal dunia di Hospital Bangkok pada 16
September lalu ketika berumur 89 tahun. Mendiang akan disemadikan di Wat
That Thong, Jalan Sikhumvit menurut laporan Bangkok Post.
Portal itu tidak menyatakan dengan lengkap di mana abu itu akan
disimpan kerana Putrajaya dalam kenyataannya tidak membenarkan abu itu
memasuki Malaysia.
“Abu itu akan diagihkan kepada rakan seperjuangan Chin Peng yang
tinggal di empat kampung berasingan di Selatan Thailand,” memetik
laporan itu.
Laporan itu menyatakan bekas Perdana Menteri Thailand Jeneral Chavalit
Yongchaiyudh akan menjadi tetamu kehormat semasa upacara pembakaran
mendiang itu.
Chavalit yang juga merupakan panglima tentera darat ketika
pemberontakan PKM di selatan negara itu dihormati bukan hanya dari
kalangan keluarga Chin Peng tetapi ahli PKM sendiri.
Akhbar tempatan melaporkan bekas pemimpin Parti Komunis Thailand Thong
Chamsri, 90, dan Vichai Chutnam hadir memberi penghormatan terakhir pada
Jumaat.
Sebahagian dari 40 bekas ahli PKM turut hadir ke majlis tersebut.
Kematian Chin Peng menimbulkan kontroversi setelah keengganan Putrajaya
untuk membenarkan abu Chin Peng disemadikan di kampung halamannya di
Sitiawan, Perak.
Pendirian kerajaan itu di atas alasan ribuan rakyat Malaysia terkorban dan tercedera di tangan komunis.
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia mendakwa semalam tarikh kematian Chin
Peng sengaja diubah bagi membolehkan ia diselarikan dengan sambutan
Hari Malaysia.
Akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia mengatakan Chin Peng meninggal
dunia pada petang 15 September dan bukannya 16 September seperti
dilaporkan.
Ahli keluarga Chin Peng menyangkal dakwaan itu dan mendakwa akhbar itu berniat jahat dan biadap.
Jurucakap keluarga mendiang, Lee Chong berkata: “Dia dah mati. Kenapa tak boleh biarkan mendiang bersemadi dengan aman?
"Sehari sebelum jasadnya hendak dibakar, kerajaan Malaysia masih mahu memutar-belit fakta.” – 23 September, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment