OLEH MOHD FARHAN DARWIS
SPR dikawal kerajaan, kata Ambiga. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 September, 2013.Pengerusi
Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) bertindak di bawah kuasa Putrajaya, sedangkan badan berkenaan
sepatutnya bertindak sebagai sebuah badan bebas.
Ambiga ketika memberi keterangan sebagai saksi terakhir Tribunal Rakyat
di Subang Jaya hari ini menegaskan, badan pengendali pilihan raya itu
juga mengambil pendirian partisan ketika mengeluarkan kenyataan.
"SPR umpama bertindak atas arahan Putrajaya ... saya ada masalah dengan
suruhanjaya yang tidak menerangkan dengan jelas setiap isu yang
berlaku.
"Mereka tidak berbuat apa-apa apabila wujud isu berkaitan pilihan
raya," kata pemimpin gabungan 84 badan bukan kerajaan itu kepada panel.
Antara isu yang dibangkitkan Ambiga adalah masalah Daftar Pemilih yang
tidak selari dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dakwat kekal
yang tidak kekal, isu pengundi hantu dan sebagainya.
"SPR seharusnya menasihati Putrajaya, bukan menurut arahan kerajaan," kata Ambiga.
"Mereka perlu menjadi badan yang betul-betul bebas memandangkan mereka
menguruskan pemilihan antara parti politik yang akan menjadi kerajaan,"
katanya lagi.
Selain itu, sikap pemimpin SPR seperti Timbalan Pengerusi Datuk Wan
Ahmad Wan Omar juga turut dipersoalkan tribunal memandangkan kenyataan
beliau yang sering mengkritik pembangkang.
"Tangan mereka (SPR) umpama terikat," kata Ambiga.
Salah seorang panel, Prof Madya Dr Mavis Puthucheary bagaimanapun
mencelah, dan menuntut agar tribunal berkenaan fokus kepada
penambahbaikan struktur SPR, dan bukan hanya melihat kepada kelemahan
anggotanya.
"Saya percaya SPR berat kepada mana-mana parti kerana kerajaan telah memerintah sangat lama.
"Tapi peranan kita bukan untuk mengkritik SPR tetapi memperbaiki
sistem. Mungkin tangan mereka terikat," katanya, yang juga merupakan
bekas pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.
Ambiga merupakan saksi terakhir hari ini sejak tribunal bermula pada 18 September lalu.
Selain beliau, bekas ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut memberi keterangan kepada Tribunal Rakyat hari ini.
Ambiga bagaimanapun berkata dalam keterangannya merujuk kepada
peruntukan Perlembagaan, jawatan tertinggi SPR bagaimanapun sukar untuk
ditukar kerana mereka dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, dan mempunyai
kuasa seumpama hakim.
Turut kelihatan sepanjang Tribunal Rakyat berlangsung adalah Pengerusi Bersama Bersih Datuk A Samad Said. – 22 September, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment