Datuk
Seri Anwar Ibrahim tiba untuk memberi keterangan di hadapan RCI
mengenai pendatang asing di Sabah. Gambar The Malaysian Insider oleh
Zainal Abd Halim, 19 September, 2013.Tidak munasabah jika
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai Projek
IC di Sabah kecuali beliau tidak bertanggungjawab atau tidak cekap,
kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi keterangan di hadapan
Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah,
hari ini.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri ketika projek ini berlangsung,
Dr Mahathir sepatutnya bertanggungjawab terhadap skandal itu dan Anwar
menolak penjelasan bekas perdana menteri itu bahawa beliau tidak tahu
mengenainya.
Anwar juga berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika berada dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Pegawai
RCI, Manoj Kurup sama ada beliau tahu atau tidak mengenai projek itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar mengenai kewujudan satu pasukan
khas yang ditubuhkan untuk memasukkan pendatang asing sebagai rakyat
Malaysia.
"Antara 1993 hingga 1998, ketika saya timbalan perdana menteri, saya
tidak pernah dijemput dalam mana-mana mesyuarat Majlis Keselamatan
Negara (MKN).
"Saya ada mendengar satu pasukan khas ditubuhkan oleh MKN pada 1989
tetapi tidak mendapat maklumat lanjut," katanya di hadapan panel lima
anggota RCI yang diketuai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
"Hatta semasa menjadi pemangku perdana menteri selama dua bulan, saya
tidak pernah diberi penerangan oleh Ketua Pengarah MKN atau diminta
menandatangani apa-apa fail berkaitan dengan MKN," katanya dan turut
memberitahu, Projek IC tidak pernah dibawa kepada Kabinet.
Berpakaian sut biru gelap dan berbaju putih, Anwar dalam keterangannya
berkata, pada masa itu Dr Mahathir adalah Menteri Dalam negeri.
Anwar yang memakai cermin gelap sepanjang menjadi saksi itu kerana
masalah mata, kelihatan tenang semasa menjawab segala soalan yang
dikemukakan kepadanya oleh Kurup, Shim dan wakil daripada Persatuan
Peguam Sabah.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa kepada pemberita di Kuala Lumpur,
bekas timbalannya itu pasti tahu jika pengeluaran kad pengenalan palsu
di Sabah dibuat secara rasmi oleh kerajaan.
Tanpa menamakan Anwar, bekas perdana menteri yang paling lama
berkhidmat di negara ini berkata, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) itu
seharusnya mengetahui kejadian yang berlaku di Sabah.
"Jika ia polisi kerajaan, kenapa dia tidak berhentikan?" katanya.
"Adakah dia akan menipu di suruhanjaya dan mengatakan saya yang
arahkan? Dia mesti tahu, kerana dia timbalan saya," katanya merujuk
kepada RCI itu.
Sehubungan itu itu, Anwar memberitahu The Malaysian Insider, beliau akan menjawab segala tuduhan Dr Mahathir itu dalam RCI ini.
BUKAN MAHATHIR SAJA SALAH
No comments:
Post a Comment