TMI: Polis hari ini mengesahkan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) yang mati ditembak di Taman Rishah, Silibin di Ipoh, pagi semalam
adalah ketua kumpulan kongsi gelap Geng 36 di Batu Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim,
berkata hasil siasatan mendapati S Jambukeshan, 39, ditembak mati akibat
pergaduhan membabitkan tiga kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 36, 04 dan
08.
"Pergaduhan dipercayai berpunca kerana berebutkan kawasan pengedaran dadah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas antara Ketua
Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan dengan penggantinya, Datuk Acryl
Sani Abdullah Sani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Katanya, polis percaya akan dapat memberkas suspek dalam kes tembak itu
berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedai
berhampiran lokasi kejadian.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat melebihi dua orang.
Mohd Dzuraidi berkata, setakat ini polis mengambil keterangan dua saksi yang berada di tempat kejadian.
Dalam kejadian pada jam 7.15 pagi semalam, bekas anggota TUDM itu mati
ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah restoran di Jalan Permaisuri
Mazwin, Taman Rishah. - Bernama, 2 September, 2013.
No comments:
Post a Comment