Melayu dikatakan selera rendah selepas kutipan Tanda Putera gagal
Kolumnis
Utusan Malaysia, Siti Jarum mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan
Filem Malaysia (Finas) apabila filem Tanda Putera yang ditayangkan sejak
28 Ogos lalu hingga semalam hanya mendapat kutipan kira-kira RM1 juta.
Beliau tidak merasakan Finas ada jawapan bagi kemelut tersebut selain
hanya menggalakkan penerbit membuat filem yang disukai penonton.
“Siti tak setuju ada pihak berkata jangan salahkan Finas apabila filem
tidak mendapat sambutan kerana agensi itu ditubuhkan untuk memajukan
industri filem. Pada definisi Siti, memajukan bukan sahaja membesarkan
saiz industri tetapi meningkatkan kutipan dan menambah jumlah penonton.
“Finas hanya gelisah apabila kutipan filem tahun ini hanya RM36.43 juta
berbanding tahun lalu RM97.29 juta dan tahun 2011 sebanyak RM126.49
juta. Tetapi Finas tak gelisah apabila penonton tidak menonton filem
yang bercitra tinggi.
“Untuk pengetahuan Finas, penonton kita terutama Melayu tidak maju.
Penonton Melayu sangat mundur, mereka berselera rendah dan murah.
Penonton begini sampai bila pun tidak akan memajukan industri filem
dalam erti kata sebenar,” katanya di akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad,
Mingguan Malaysia.
Kolumnis itu juga mengatakan beliau muak apabila Finas selalu
membentangkan pencapaian kecemerlangan mereka apabila berjaya
meningkatkan kutipan filem Melayu kerana menurutnya bukan pencapaian ini
yang dimahukan untuk memajukan bangsa.
Katanya, sepanjang lebih tiga dekad usia Finas, beliau tidak lihat
usaha untuk meningkatkan kemajuan penonton sambil mendakwa Finas tidak
berasa bersalah apabila filem yang memundurkan minda Melayu mendapat
kutipan pecah panggung jutaan ringgit.
“Kalau Siti sebagai orang yang berkuasa di Finas, sudah tentu Siti akan
hantuk kepada di dinding kerana gagal memajukan penonton. Adakah Finas
akan terus bergembira dan berbangga apabila filem yang memundurkan minda
Melayu terus mendapat sambutan manakala filem yang ‘dijentik’ pula
dipinggirkan oleh penonton?
“Finas tidak boleh berbangga sekadar mengeluarkan berjuta-juta ringgit
untuk menghasilkan filem kenegaraan kalau tidak membina penonton. Tanda
Putera adalah filem mesti tonton oleh sekalian umat Melayu. Sebabnya
sebahagian besar orang Cina (sudah semestinya yang menyokong DAP) tidak
akan menonton filem ini.
"Statistik menunjukkan selama ini pun bukan Melayu tidak menonton filem
Melayu. Biarkan mereka kerana jumlah penonton Melayu sahaja pun boleh
membangunkan industri filem. Tapi kenalah penonton yang berkualiti,”
katanya.
Katanya, disebabkan selera yang rendah, penonton Melayu tidak patriotik
untuk mendekatkan diri dengan karya filem yang bercakap tentang negara
dan bangsa.
“Mereka hanya terpasung dengan filem yang menjauhkan mereka daripada
memikirkan realiti orang Melayu hari ini. Filem ini sama ada dibuat oleh
orang Melayu atau bukan Melayu adalah tergolong dari kalangan tidak
patriotik. Sebabnya filem mereka tidak menyumbang kepada pembinaan
bangsa, malah merosakkan bangsa. Tetapi mereka buat juga kerana rasukan
duit yang dikaut dari kantung penonton bercitra rendah.
“Siti fikir Finas kena membuat sesuatu supaya saiz industri filem yang
semakin besar dari sudut statistiknya dapat diimbangkan dengan kualiti
penonton. Siti melihat sebahagian besar penonton Cina menyokong filem
Cina tempatan. Filem arahan Namawee yang menghina Melayu, Kara King
misalnya mendapat sambutan baik. Begitu juga filem Cina yang
mengagungkan komunis, The New Village, sambutannya hebat juga. Tetapi
filem Tanda Putera orang Melayu sendiri tak banyak menontonnya.
“Kalau tak kuat semangat, penerbit seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba
akan mengalah dan gulung tikar. Yang tinggal hanya penerbit filem untuk
memundurkan minda Melayu. Memang benarlah penerbit begini yang menyara
hidup artis, pekerja produksi dan tauke panggung. Tetapi apalah ertinya
kalau wawasan mencerdikkan orang Melayu dikorbankan untuk kepentingan
kumpulan minoriti tadi,” katanya. - 15 September, 2013. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment