Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) secara terang-terangan
menyalahgunakan kuasa apabila menggesa semua agensi kerajaan termasuk
syarikat milik kerajaan (GLC) membeli iklan dari akhbar rasmi Umno, kata
DAP.
Setiausaha Pengelola DAP, Tony Pua, berkata gesaan Najib itu jelas
bertentangan dengan janji Perdana Menteri itu kepada rakyat dalam
Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) yang kononnya akan melakukan
transformasi ketelusan dalam pentadbiran negara.
"Gesaan Najib meminta agensi kerajaan, GLC membeli iklan bagi
memastikan kelangsungan Utusan adalah satu lagi agenda kerajaan menipu
wang cukai rakyat,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Perdana Menteri itu dalam pelancaran bangunan Ibu Pejabat
Utusan Melayu yang baru menggesa semua agensi kerajaan, syarikat GLC dan
syarikat swasta terutama milik Bumiputera mengiklan lebih banyak dengan
akhbar di bawah kumpulan Utusan.
Najib berkata, langkah itu sebagai penghargaan mereka kepada perjuangan Utusan selama ini.
Gesaan itu disokong Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri
Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin yang meluahkan rasa terkilan apabila
syarikat korporat meminggirkan Utusan.
"Kami dapati perbelanjaan iklan oleh sebahagian GLC dalam akhbar Melayu
terutama Utusan lebih kecil berbanding akhbar berbahasa lain, ini tidak
adil,"katanya.
Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, gesaan Najib
secara tidak langsung membuktikan akhbar Utusan Melayu tidak lagi
menjadi pilihan kerana agenda yang sangat rasis terhadap perkauman.
Tony berkata, Najib hipokrit apabila Presiden Umno mempunyai
kepentingan sendiri, menggunakan pengaruh mengambil wang rakyat demi
parti sendiri.
"Najib hanya berpura-pura kononnya akan melakukan perubahan, membawa
imej pembaharuan kerajaan kepada masyarakat tetapi apabila perkara
melibatkan kepentingan Barisan Nasional (BN) mereka akan mendahulukan
kroni,"katanya.
Pada masa sama, Tony menyelar Najib yang tidak teragak-agak memotong
subsidi barang keperluan dan perkhidmatan bagaimanapun mengalakkan
pembaziran dengan meminta syarikat membeli iklan dalam Utusan. – 14
September, 2013 The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment