Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengkritik rancangan untuk menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun 2015.
Ini kerana sehingga kini matlamat semua pelan pendidikan sebelum ini untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara belum lagi tercapai.

"Ia mesti mula dengan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Penguasaan bahasa Melayu bukan sahaja harus baik tetapi ditingkatkan mutu penguasaannya.

"Jelas dalam mana-mana pelan induk, itu harus diselesaikan.

"Ini belum diselesaikan," kata Anwar dalam sidang media di Shah Alam pagi tadi.

Beliau merujuk kepada rancangan itu yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diumumkan timbalan perdana menteri semalam.

Menurut Anwar lagi, keutamaan sekarang adalah untuk melengkapkan kemudahan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sebelum ia dijadikan mata pelajaran wajib lulus.

"Wajibkan belajar saya setuju, tingkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris saya setuju, wajib lulus dalam keadaan belum menentu, mutu guru, kemudahan belajar, kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah desa luar bandar termasuk sekolah aliran Cina dan Tamil - itu harus diteliti dahulu.

"Saya tidak fikir wajar diwajibkan lulus sebelum prasarana itu betul-betul siap," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Sedunia Kebangkitan Islam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Shah alam pagi tadi.