Tuesday, September 10, 2013

Ikhwan hargai PAS beri penerangan kepada rakyat

Harakahdaily 

Abu Marwan, 10 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Jurucakap Ikhwan Muslimin Mesir, Dr. Ahmed Fahmy telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Turut serta adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad.

Beliau dalam lawatan singkat ke Malaysia telah menjadi tetamu kepada PAS dalam sidang meja bulat 'Krisis Mesir' yang telah diadakan di Kuala lumpur pada minggu lepas.

Dr. Ahmed Fahmi yang juga merupakan pakar jantung yang terkenal di seluruh rantau Arab telah menerangkan tentang perkembangan krisis yang sedang berlaku di Mesir kepada Tuan Guru Abdul Hadi serta implikasi kudeta tentera yang berlaku di sana.

Beliau juga telah menceritakan secara terperinci tentang pembunuhan beramai-ramai yang telah dilakukan oleh rejim tentera dan polis di Dataran Rabaa dan Dataran Nahdah yang telah mengorbankan lebih 3,000 orang awam termasuk ibu-ibu dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Begitu juga dengan siri tangkapan terhadap kepimpinan Ikhwan Muslimin termasuk Mursyid Am Ikhwan, Dr. Mohamed Al-Badie'.

Beliau juga melahirkan setinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pimpinan PAS yang telah bertungkus lumus memberi maklumat kepada rakyat Malaysia bagi membela dan mempertahankan kerajaan yang sah yang dipimpin oleh Presiden Mohamed Morsi yang telah diguling secara kejam oleh rejim tentera yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar barat.

Sementara itu, Tuan Guru Abdul Hadi melahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir yang sanggup mempertaruhkan segala-galanya termasuk nyawa bagi mempertahankan sebuah kerajaan yang sah yang telah dipilih oleh rakyat secara demokratik.

Beliau menegaskan, PAS akan sentiasa memberi sokongon padu kepada rakyat Mesir bagi mengembalikan keadilan dan demokrasi yang kini berhadapan dengan kezaliman rejim junta tentera yang telah melakukan pelbagai pelangaraan hak asasi kemanusiaan.

Dr. Ahmed fahmy juga telah memohon agar seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kemenangan kuasa rakyat di Mesir bagi kembali kepada pentadbiran yang dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Beliau juga dijangka berkunjung ke Jakarta dan beberapa buah negara lagi.

No comments:

Post a Comment