Kerajaan
digesa untuk mendedahkan jumlah yang perlu dibayar kepada dua syarikat
konsesi bagi mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan kamera Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan hari ini, kata
Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor itu (KASE) berkata, tindakan Pemangku
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang tidak memberi
butiran jelas perjanjian pengambilalihan itu meragukan.
"Ini yang rakyat hendak tahu, berapa banyak kerajaan perlu bayar kepada
dua syarikat swasta iaitu Bina Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd apabila
tidak lagi terikat dengan perjanjian.
"Mereka perlu kemukakan semuanya secara terperinci baru kita yakin
tidak ada pihak berkepentingan yang mengaut keuntungan dalam isu
ini,"katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Naib Presiden PAS itu juga berkata, penukaran AES sepenuhnya juga
membuktikan bahawa kerajaan bertindak terburu-buru dalam melakukan
sesuatu tanpa melakukan kajian menyeluruh.
"Inilah yang saya katakan apabila kerajaan tidak pernah teliti dalam
melaksanakan AES, mereka tidak menghiraukan pandangan pihak lain, namun
bila ia tidak menjadi senang pula boleh membatalkan perjanjian,"katanya.
Katanya, persoalan yang perlu diperhalusi mengenai isu AES itu ialah
adakah pelaksanaan sistem itu dapat mengurangkan kadar kemalangan di
negara ini.
"Isu yang kita patut nilai adakah betul AES dapat mengurangkan kadar
kemalangan kerana saya rasa pengguna hanya akur kerana tidak mahu
disaman namun untuk mendidik pengguna kesedaran keselamatan jalan raya
kerajaan gagal," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menyarankan kerajaan mengadakan
perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan
bagi mencari penyelesaian terbaik dalam meningkatkan tahap kesedaran
keselamatan jalan raya oleh pengguna.
"Hishamuddin kena terangkan dengan telus, dalam Parlimen berapa kali
kita minta jawapan namun tidak dilayan. Kalau ikutkan undang-undang yang
betul kalau itu harga kompaunnya bagaimana pula boleh dikurangkan,"
katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan menggunakan budi bicara dalam
melaksanakan sistem AES termasuk penetapan had laju, lokasi dan jumlah
kamera serta kadar bayaran saman.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad,
berkata ia dapat dilaksanakan berikutan kerajaan tidak lagi terikat
dengan perjanjian operasi dan penguatkuasaan sistem diambil alih
daripada syarikat pengendalinya.
Mengikut perjanjian dua syarikat swasta tersebut, sebanyak 1,093 kamera
perlu dipasang diseluruh negara dan kadar saman ialah RM300 bagi setiap
kesalahan.
“Apabila kerajaan mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES, kita
ada formula lain dan boleh menggunakan budi bicara," katanya sebagaimana
dipetik dari Berita Harian.
Katanya, pemasangan kamera di kawasan mempunyai had laju 110 kilometer
sejam (km/j) akan diberi keutamaan sebelum memasang di kawasan 70 atau
90 (km/j). – 14 September, 2013
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment