Malaysia tidak sebahagia seperti sebelumnya menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Kedudukan Malaysia merudum dari tangga 51 pada tahun lalu ke tangga 56 berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia 2013.
Ini menjadikan Malaysia ketinggalan berbanding negara Asia Tenggara
lain seperti Singapura di tangga 30 dan Thailand di tangga 36 namun
masih mendahului Indonesia yang berada di kedudukan 76.
Tahun lalu, Singapura berada pada kedudukan 33, Thailand (52) dan Indonesia (83). Rujuk rajah di bawah.
Manakala Denmark berada di kedudukan pertama negara paling bahagia di
dunia dengan memperoleh markah 7.693 berdasarkan "Tangga Cantril" iaitu
satu bentuk pengukuran berdasarkan penilaian responden dengan
menggambarkan kehidupan sebagai tangga, berdasarkan skala 10 paling
bahagia dan 0 sebagai terburuk.
Malaysia mendapat markah 5.760 dalam ujian tersebut merudum 0.377 mata
daripada laporan sebelumnya. 40 negara lain turut mencatat penurunan
sementara 60 negara lagi mencatat peningkatan.
Bagaimanapun, kajian tersebut tidak menyatakan butiran lengkap keputusan yang diperoleh.
Laporan tahun ini berdasarkan maklumbalas yang diterima dari tahun 2010
hingga 2012 daripada 156 negara yang dikeluarkan oleh Rangkaian
Penyelesaian Pembangunan Mapan PBB (SDSN).
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, jangka hayat sihat,
sokongan sosial untuk mendapatkan bantuan, persepsi rasuah, sifat
pemurah dan kebebasan membuat pilihan adalah faktor yang diambil kira
dalam kajian itu.
Laporan tersebut juga mendedahkan beberapa perkembangan baru seperti
dunia kini lebih bahagia dan pemurah sejak lima tahun lalu berdasarkan
penilaian penduduk mengenai hidup mereka.
"Laporan ini kaya dengan maklumat dimana ukuran dan kajian yang
dilakukan secara sistematik boleh mengajar kita bagaimana untuk
mempertingkatkan kualiti kehidupan dan perkembangan mapan," kata
Pengarah Institut Bumi Universiti Columbia, Jefrrey D. Sachs.
"Kini berlaku peningkatan permintaan sedunia apabila penduduk
mementingkan polisi dan mengutamakan kualiti hidup," katanya. - 13
September, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment