12 Sep 2013
Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
Kuala Lumpur: Selain dipukul dengan kayu,
badannya turut direnjat dengan arus elektrik. Detik penyeksaan itu
dilalui hampir lima jam oleh seorang lelaki berusia 26 tahun selepas
diculik sekumpulan tiga lelaki di Sungai Besi, di sini, kelmarin.
Ketika diperlakukan demikian antara jam 12.30 tengah malam dan 6
pagi, mangsa mendakwa kedua-dua kaki dan tangannya diikat manakala
kepalanya ditutup baju.
Menurut sumber, ketika diseksa, seorang suspek menghubungi keluarga mangsa meminta wang tebusan RM80,000. Bagaimanapun, Harian Metro difahamkan, selepas keluarga mangsa berunding dengan kumpulan penculik terbabit, bayaran dikurangkan kepada RM30,000.
Sumber itu berkata, mangsa berjaya meloloskan diri jam 6.30 pagi
sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang juga pekerja trak tunda sedang bekerja sendirian untuk menunda sebuah Perodua Myvi yang rosak di Sungai Besi.
“Tiba-tiba sebuah Proton Wira tiba berhenti berhampirannya. Tiga lelaki berusia 30-an keluar dari kenderaan itu dan mendakwa mereka anggota ‘polis’. “Mereka mengheret mangsa masuk ke dalam Proton Wira sebelum kedua-dua dua tangannya diikat dan kepalanya ditutup,” katanya.
Sumber itu berkata, kumpulan penculik terbabit membawa mangsa ke
sebuah apartmen di Bandar Kinrara sebelum mengurungnya dalam sebuah
rumah di tingkat dua.
Menurutnya, di dalam rumah itu kaki mangsa diikat sebelum dia dibaringkan di ruang tamu.
“Mangsa dipukul dengan kayu di seluruh badan secara
bergilir-gilir. Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendakwa direnjat
dengan arus elektrik.
“Mangsa diperlakukan sedemikian hampir lima jam dan tiga penculik itu dilaporkan bergilir-gilir menyeksanya,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas bersetuju dengan bayaran wang tebusan RM30,000, kumpulan penculik itu mengarahkan keluarga mangsa pergi ke satu lokasi melakukan pertukaran tepat jam 9 pagi.
“Tapi, kumpulan penculik masih menyeksa mangsa sehinggalah jam 6 pagi. Mereka hanya berhenti apabila melihat mangsa lemah,” katanya .
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mangsa kerana ketiga-tiga penculik itu tertidur setengah jam kemudian, Menurutnya, mangsa kemudian berjaya membuka ikatan lalu nekad terjun dari tingkat dua bangunan itu menyelamatkan diri.
“Penculik itu terjaga daripada tidur dan cuba mengejar mangsa, namun usaha mereka gagal apabila mangsa dibantu orang awam yang kebetulan lalu di kawasan itu,” katanya.
Difahamkan, mangsa dibawa orang awam ke rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi. Mangsa yang cedera di seluruh badan kini dirawat di sebuah hospital di ibu kota.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu
myMetro
No comments:
Post a Comment