OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA September 21, 2013
Orang
ramai yang hadir di upacara pengebumian Chin Peng di Bangkok membaca
potongan surat khabar tentang bekas ketua Parti Komunis Malaya itu. -
Gambar Reuters, 21 September, 2013.
Mohamad Sabu tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan menghalang abu
mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana katanya, tiada apa yang
perlu ditakutkan dengan abu mayat pemimpin komunis itu.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, Islam sendiri tidak pernah
menghalang mayat musuh agama untuk dijauhkan daripada tempat suci dan
keadaan seumpama turut berlaku di Mekah.
“Mengapa kita hendak takut dengan abu mayat ini? Kubur Abu Jahal, Abu
Lahab masih ada di sekitar Mekah. Tidak ada masalah sebenarnya,” katanya
ketika dihubungi The Malaysian Insider merujuk kepada penentang Nabi
Muhammad pada zaman awal Islam.
“Kubur Firaun pun masih ada di Mesir. Tidak jadi masalah pun, dekat pula dengan Universiti Al-Azhar,” katanya.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Chin Peng adalah
pejuang kemerdekaan dan melawan penjajah British sebelum Malaya merdeka
pada 31 Ogos 1957.
“Dia menentang dan membunuh Sir Henry Gurney yang membawa orang Yahudi masuk ke Palestin.
“Selepas 31 Ogos 1957, saya tidak berani komen kerana Malaya sudah Merdeka,” katanya.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dalam temuramah
bersama BFM radio semalam memberi amaran Malaysia akan menjadi bahan
ketawa jika kerajaan tidak berganjak daripada keputusan `naif’ dengan
enggan membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke dalam negara
untuk ditanam.
Menurutnya, tindakan itu juga akan menyebabkan bekas pemimpin komunis
itu bertukar menjadi ikon dan ia adalah langkah terkebelakang dalam
cubaan kerajaan untuk memenangi semula sokongan masyarakat Cina
berikutan prestasi buruk dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu.
“Masyarakat heboh mengenai abunya tidak dibenarkan dibawa masuk ke
Malaysia. Pertelingkahan ini berlanjutan keterlaluan. Saya fikir ia
sedikit naïf.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan
tidak akan menarik diri daripada pendiriannya untuk menghalang abu mayat
Ching Peng dibawa balik dan mencabar mereka yang tidak berpuas hati
dengan keputusan itu untuk mengambil tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semua pintu masuk
ke dalam negara berada dalam keadaan berjaga-jaga, kerana kerajaan
bimbang abunya dibawa masuk.
Semalam, parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA juga melahirkan
pendapat mayat Chin Peng patut dibenarkan pulang ke sini untuk kali
terakhir.
Pengerusi biro publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie berkata, mayat
pengganas Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dibenarkan untuk
dikebumikan di Malaysia.
Kumpulan hak Melayu, Perkasa, bagaimanapun, memberi amaran kepada MCA
supaya parti itu jangan menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan
mendesak Putrajaya membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke sini.
Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali, berkata ramai orang Melayu
dan Cina mati di tangan komunis yang diketuai Chin Peng ketika
pemberontakan.
Chin Peng atau nama sebenarnya, Ong Boon Hua, meninggal dunia di
hospital di Bangkok, Thailand pada Hari Malaysia, sebulan sebelum hari
lahirnya yang ke-89.
Ketika hayatnya, beliau berulang kali menyuarakan hasratnya untuk dikebumikan di kampungnya di Sitiawan, Perak.
Beliau dilantik sebagai setiausaha agung PKM pada usia 23 tahun dan
menjadi “musuh nombor satu” British di Asia Tenggara ketika
pemberontakan komunis di Malaya. – 21 September, 2013.
The Malaysian Insider
Pahlawan Melayu macam Tok Janggut dan Tok Bahaman mati ditangan penjajah Inggeris tak pulak perkasa melalak dan meraung? Melayu dan cina mati ditangan komunis masa british nak kecuh pasal apa? Kafir Quraisy banyak bunuh orang Islam masa zaman nabi...takda pula nabi kecoh mayat kafir Quraisy ditanam di Mekah? Apa punya turrrr.......la, abu mayat pun sampai kecuh sempadan berjaga-jaga? Kalau ketatkan sempadan pintu masuk dari penyeludupan senjata bolehlah terima...ni abu mayat? Ke abu mayat ni ada kuman antrax?
ReplyDelete