Nasrudin Hassan  
  • Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Kerajaan digesa menurunkan kembali harga petrol RON95 dan diesel yang dinaikkan 20 sen seliter, dua hari lalu.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu perlu kerana kerajaan tidak boleh meletakkan bebanan ekonomi ke atas bahu rakyat susulan kegagalannya menguruskan ekonomi dengan baik.

“Penurunan itu haruslah disusuli dengan pembentangan sekurang-kurangnya tiga alternatif lain untuk dipertimbangkan oleh rakyat bagi meningkatkan hasil dan menambahkan penjimatan akaun negara.

“Kenaikan ini secara lazimnya akan menyebabkan kesan gandaan drastik kepada harga barangan dan perkhidmatan yang pastinya membebankan masyarakat khasnya golongan marhaen dan kelas menengah yang sedia tertekan dengan peningkatan kos sara hidup tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kenaikan minyak bukan alasan mengurangkan subsidi dan defisit negara sedangkan negara masih boros.

“Anggaran penjimatan RM 1.1 billion untuk 2013 dan RM 3.3 billion untuk 2014, bahkan RM 10 bilion sekali pun dari pemotongan subsidi petrol atau diesel tidak memberi makna sekiranya perbelanjaan fiskal negara tiris dengan keborosan, rasuah dan ketidakcekapan.

“Perdana menteri hanya dilihat mengitar semula kenyataan bahawa kerajaan akan mewujudkan mekanisme subsidi yang lebih spesifik untuk manfaat masyarakat miskin. Hakikatnya perkara ini sudah disebut-sebut sejak kenaikan harga minyak pada 2008 tetapi tiada mekanisme,” katanya.

Nasruddin, yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, kerajaan diingatkan supaya tidak memberikan kenyataan manis selepas kenaikan harga petrol yang bersifat seolah-olah mengecilkan kebijaksanaan masyarakat.

“Kenyataan seperti 'kenaikan harga minyak boleh ditampung dengan peningkatan BR1M, orang berkereta besar boleh menampung kenaikan harga minyak, kenaikan harga minyak tidak akan memberi kesan banyak kepada harga barangan' ternyata alasan merendah-rendahkan kebijaksanaan masyarakat dan mencerminkan sifat elitis kepimpinan negara yang tidak menjiwai nurani rakyat.

“Keputusan menaikkan harga petrol dan diesel ini petunjuk bahawa kerajaan sudah kebuntuan idea menyelamatkan ekonomi negara,” katanya.