Pertubuhan
Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengecam pemimpin PAS yang hadir ke
Bangkok, Thailand untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas
Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dan menyifatkan
tindakan ini hanya untuk memenangi undi Cina.
Menurut Datuk Ibrahim Ali (gambar), tindakan pemimpin PAS itu bertujuan mengukuhkan kedudukan politik mereka.
“Ini semua politik dan untuk meraih undi pengundi Cina terutama bekas ahli PKM. Chin Peng ini manusia kufur.
"Bagaimana pemimpin PAS yang beragama Islam ini boleh memberi
penghormatan kepada pemimpin kafir seperti Chin Peng?” katanya dalam
satu kiriman pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menyelar kenyataan Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu yang menyamakan isu Chin Peng dengan Abu Jahal
pada zaman Nabi Muhammad dan Firaun di Mesir.
“Sejarah Abu Jahal di Mekah dan Firaun di Mesir berbeza dengan Chin
Peng. Apakah Mat Sabu tidak mengetahui sejarah Islam? Chin Peng bukan
warganegara Malaysia dan telah membunuh ramai askar Melayu Islam.
“Selepas peristiwa pembukaan Mekah, Allah dan Rasul melarang orang
kafir memasuki Mekah. Besar implikasinya. Ramai lagi orang kafir mati di
Mekah tetapi Rasullulah SAW tidak memberi penghormatan malah berdoa
untuk orang kafir,” katanya.
The Malaysian Insider melaporkan Pemimpin PAS Kedah Fadzil Baharom
hadir ke tokong Wat That Thong di Bangkok bagi memberi penghormatan
terakhir kepada mendiang Chin Peng kira-kira jam 7 petang semalam.
Menurutnya, memberi penghormatan terakhir bukanlah bermakna dirinya
komunis atau mengikut ideologi fahaman itu tetapi sekadar minatnya
terhadap sejarah dan Chin Peng adalah salah satu lembaran sejarah
Malaysia.
Bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu atau nama sebenarnya
Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada tahun 1924.
Sementara itu, Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan
menghalang abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia kerana katanya,
tiada apa yang perlu ditakutkan dengan abu mayat pemimpin komunis itu.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, Islam sendiri tidak pernah
menghalang mayat musuh agama untuk dijauhkan daripada tempat suci dan
keadaan seumpama turut berlaku di Mekah.
Kematian Chin Peng menimbulkan kontroversi setelah keengganan Putrajaya
untuk membenarkan abu Chin Peng disemadikan di kampung halamannya di
Sitiawan, Perak.
Pendirian kerajaan itu di atas alasan ribuan rakyat Malaysia terkorban dan tercedera di tangan komunis.
Akhbar milik Umno Utusan Malaysia mendakwa semalam tarikh kematian Chin
Peng sengaja diubah bagi membolehkan ia diselarikan dengan sambutan
Hari Malaysia.
Akhbar edisi Ahad, Mingguan Malaysia mengatakan Chin Peng meninggal
dunia pada petang 15 September dan bukannya 16 September seperti
dilaporkan.
Ahli keluarga Chin Peng menyangkal dakwaan itu dan mendakwa akhbar itu berniat jahat dan biadap.
Jurucakap keluarga mendiang, Lee Chong berkata: “Dia dah mati. Kenapa tak boleh biarkan mendiang bersemadi dengan aman?
"Sehari sebelum jasadnya hendak dibakar, kerajaan Malaysia masih mahu memutar-belit fakta.”
Mendiang Chin Peng kini masih berada di Tokong Wat That Thong di Jalan
Sikhumvit, Bangkok dan mayatnya akan dibakar jam 5 petang ini. - 23
September, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment