Susulan
kegagalan filem kontroversi Tanda Putera mencecah status pecah
panggung, Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mahu ia
ditayangkan secara percuma.
Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin berkata persoalan sama ada
filem tersebut mendapat sambutan ataupun tidak bukan ukuran sebenar
kualiti filem tersebut.
"Soal bagaimana ia nak ditayangkan, kita sudah pun beri pandangan
sebelum ini supaya filem ini ditayangkan di sekolah, ditayangkan di
tempat awam dan ditayangkan kepada semua Ahli Parlimen dan wakil rakyat.
"Kita minta itu, malahan kita minta ia ditayangkan secara berturutan di
televisyen," kata Zulkifli selepas ditanya tentang filem tersebut yang
tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Zulkifli juga menegaskan filem tersebut wajib ditonton orang ramai bagi
mengetahui tentang sejarah sebenar di sebalik rusuhan kaum 13 Mei 1969.
"Pada kita secara prinsip, filem Tanda Putera wajib jadi tontonan rakyat," katanya lagi.
Bagi Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, filem tersebut sememangnya
dijangka tidak mendapat sambutan memandangkan genre filem tersebut bukan
diminati oleh anak muda.
"Box office di pawagam, kita lihat sekarang ini filem-filem anak muda," kata Ibrahim.
Menurut Ibrahim lagi, faktor lain filem tersebut tidak mendapat
sambutan adalah kerana orang ramai telah menontonnya sebelum ini sebelum
ia dilancarkan.
"Orang pun bukan tengok di pawagam, saya sendiri pun sudah bawa ia ditonton kepada orang ramai.
"Banyak kali dah saya tayangkan kepada orang ramai, tapi secara senyap-senyaplah," katanya lagi.
Filem kontroversi Tanda Putera yang menelan belanja RM4.8 juta hasil
daripada geran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional dan
Perbadanan Pembangunan Multimedia gagal mencapai status pecah panggung,
malah telah dipindahkan ke panggung lebih kecil.
Tanda Putera mencetuskan kontroversi apabila ada adegan di dalamnya
dikatakan mengandungi unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Filem itu mendapat kritikan hebat daripada DAP dan MCA kerana filem itu
dikatakan seolah-olah menyalahkan kaum Cina sebagai pencetus tragedi 13
Mei 1969. – 5 September, 2013.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment