Polis
sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan
Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk
Shaharuddin Ibrahim (gambar) di Putrajaya pada 26 April lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi
Ahrasa berkata pengecaman suspek berumur 22 hingga 30 tahun itu dibuat
melalui foto dan tindakan memberkas suspek akan dibuat dalam masa
terdekat.
Bagaimanapun, beliau enggan menyiarkan gambar suspek kerana kes itu masih dalam siasatan.
Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, April lalu.
Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan
yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari
Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.
Dalam perkembangan lain, polis menahan pasangan suami isteri berumur 51
dan 55 tahun pada 28 Ogos lepas kerana dipercayai mendera anak lelaki
mereka yang berusia 10 tahun di Jalan Pahang, Setapak, di sini.
Khairi berkata kedua-dua suspek yang merupakan peniaga itu ditahan
susulan laporan polis oleh seorang guru sebuah sekolah di Setapak,
sehari sebelum kejadian.
"Guru tersebut mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan
parah di bahagian badan, kaki, mulut dan kepala. Kanak-kanak itu hadir
ke sekolah dengan keadaan luka yang kronik dan ibu bapanya dipanggil
untuk diambil keterangan.
"Pihak sekolah telah membuat inkuiri terhadap kanak-kanak berkenaan dan
mendapati dia dipukul oleh kedua ibu bapanya," katanya sambil menambah
pihak sekolah yang berasa curiga dengan kecederaan kanak-kanak itu telah
membuat laporan polis.
Khairi berkata akibat trauma, kanak-kanak malang itu enggan hadir ke sekolah.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak
2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak
lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, polis menangkap dua suspek yang dipercayai anggota
kongsi gelap setelah mendapati suspek mempamerkan tatu yang mempunyai
elemen kongsi gelap dalam Ops Cantas Khas dua hari lepas.
"Tangkapan kedua-dua suspek di Brickfields dan Cheras ini menjadikan
jumlah kes di bawah akta ini adalah sebanyak 36. Kedua-dua suspek kini
ditahan reman dan polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 52 Akta
Pertubuhan 1966 (Akta 355)," katanya. – Bernama, September 11, 2013.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment