Pemimpin
politik dan tokoh agama mengecam tindakan Ulama Umno, Fathul Bari Mat
Jahya yang mengaitkan Allah dalam isu kenaikan harga barang, sejurus
pengumuman peningkatan petrol dan diesel 20 sen minggu lalu.
Fathul dalam artikelnya di akhbar Sinar Harian bertajuk "Harga barang
ketetapan Allah" berkata, kenaikan harga barang adalah ujian dalam
bentuk kesusahan dan bukan kenikmatan, serta berhujah dengan peristiwa
sama yang berlaku semasa zaman Nabi Muhammad SAW.
"Sedih pemikiran tokoh ilmuan begini.
"Apakah kelak beliau juga akan berkata, maksiat yang berleluasa,
jenayah yang meningkat dan penyelewengan serta salah guna kuasa, sebagai
rakyat bersabarlah kerana ini semua adalah ketetapan Allah," kata Ketua
Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan di akaun
Facebooknya.
Fathul Bari dalam artikelnya berkata, rakyat perlu bersabar dengan
kenaikan harga barang dan reda dengan ketentuan yang ditetapkan Allah.
"Siapa yang mengetahui kecuali Allah? Boleh jadi musibah lebih besar terjadi sekiranya hal itu berlaku.
"Oleh itu,Islam mengajar apabila berdepan situasi yang tidak disukai
untuk mengucapkan Qaddarallah wama syaa-a fa’al (ALLAH telah menetapkan
dan Dia berbuat apa yang dikehendakiNya)," kata Fathul Bari menulis di
artikelnya lagi.
Bekas Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas
kenyataan Ulama Umno tersebut sebagai tidak berasas dan mengelirukan
orang ramai kerana menjadikan Allah sebagai alasan terhadap kenaikan
harga barang.
"Apakah jika anda ke kedai lalu penjual menjual barang dengan harga
yang mahal, maka adakah dia boleh menyatakan 'Allah yang menaikkan harga
bukan saya?" soal Mohd Asri dalam akaun Facebooknya.
Mohd Asri kemudiaan menggesa Fathul Bari supaya berhujah menggunakan
ilmu serta meluahkan kebimbangannya terhadap artikel yang ditulis oleh
Ulama Umno tersebut.
"Jangan sampai nanti ada pembunuh yang akan berhujah bukan saya
membunuh tapi Allah yang menetapkan ajal, pencuri pula akan berkata
bukan saya yang mencuri, tapi Allah yang menetapkan rezeki.
"Kerana saya berpegang dengan kata-kata ilmu bukan kerajaan yang
mengurangkan subsidi tapi Allah yang menaikkan harga barang," katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan
harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter, menjelaskan kerajaan
ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1
seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi
subsidi yang banyak kepada rakyat.
Sejurus pengumuman itu, orang ramai tidak berpuas hati dan menyifatkan langkah tersebut membebankan.
Pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas pengumuman
tersebut berkata kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3
peratus tahun ini.
Kerajaan pentadbiran Najib dikritik kerana boros berbelanja sebelum
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu dengan memberikan wang
bantuan kepada rakyat walaupun dalam krisis kewangan global.
Kerajaan disedarkan mengenai realiti kewangan negara apabila Fitch
Ratings, salah satu daripada tiga firma kadar antarabangsa, menurunkan
taraf kredit Malaysia kepada negatif bulan lalu atas pengurusan kewangan
yang teruk. - 9 September, 2013.
The Malaysian Insider
bagi Fathol Bahri sebagai ulamak UMNo segala usahanya mencari hadith yang compatible dengan tingkah laku pimpinan UMNO adalah suatu usaha murni. Ulamak muda UMNO mesti mempertahankan pemimpinnya tak kira sama ada rakyat menderita ,miskin dan lapar...penderitaan rakyat adalah ketentuan Allah....menentang pemerintah yang korup dan jahat adalah suatu yang mungkar...inilah ulamak UMNO....yang sedia sekandang dengan lembu2 UMNO...
ReplyDelete