Thursday, October 17, 2013

21 Okt genap 23 tahun ulama terajui Kelantan

Harakahdaily 

Aslani M, 17 Okt 2013
KOTA BHARU: Pada 21 Oktober ini genap 23 tahun kerajaan PAS Kelantan di bawah kepemimpinan ulama setelah mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN pada 21 Oktober 1990.

Sempena ulangtahun tersebut sambutan kelahiran kerajaan Membangun Bersama Islam akan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pada sambutan terbabit rakyat Kelantan berpeluang memberi pelbagai persembahan atau cenderahati kepada mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Persembahan rakyat itu tidak kira sama ada dalam bentuk buah tangan atau bacaan puisi yang dituju kepada Tok Guru sendiri,” katanya di sini.

Tok Guru dijangka berada di Dataran Stadium pada sebelah petang bagi meraikan ulangtahun kerajaan negeri bersama rakyat.

Program tersebut yang bertema "Jasa Dikenang, Amanah Disandang" bermula jam 3.30 pagi dimulai munajat dan qiamullail, kemudian diikuti solat Subuh dan kuliah.

Manakala acara perasmian bermula jam 9 pagi disempurnakan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

Pada sebelah petang bermula jam 2.30 petang Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan menerima persembahan rakyat. Selepas itu Menteri Besar pula akan menerima nota ucapan rakyat yang akan disampaikan di majlis bersejarah itu.

Program berkenaan akan diiringi dengan persembahan silat, dikir barat, choral speaking dan pelajar dari Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Sebelum program sesi petang berakhir, orang ramai yang hadir akan mendengar ucapan wakil-wakil kaum, NGO menuntut royalti, orang kelainan upaya dan NGO-NGO lain.

Pada sebelah malam pula bermula jam 9 ceramah perdana akan membariskan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan wakil DAP Datuk Ngeh Koo Ham.

No comments:

Post a Comment