Wednesday, October 30, 2013

gaji pekerja kontrak dalam agensi kerajaan lebih tinggi dari penjawat awam ?

OLEH DIYANA IBRAHIM October 30, 2013
Kongres Kesatuan Pekerja (Cuepacs) yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mendesak kerajaan memberikan mereka gaji lebih tinggi daripada pekerja kontrak jangka pendek dalam beberapa agensi kerajaan yang lain.

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda, berkata tidak adil jika penjawat awam yang layak dibayar menerima gaji kurang daripada mereka yang berkhidmat dalam kontrak jangka pendek.
"Cuepacs melihat ia perkara yang tidak adil apabila agensi yang mempunyai ramai pekerja kontrak  mendapat gaji lebih tinggi daripada penjawat awam," katanya  kepada The Malaysian Insider.

 Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mengenai gaji sesetengah ketua agensi kerajaan setinggi RM69,000 sebulan.
Ong semalam berkata, gaji penjawat awam tertinggi Ketua Setiausaha Negara hanya RM23,577 jauh lebih rendah dari ketua agensi seperti Talentcorp, Agensi Inovasi Malaysia dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu).

Azih berkata, Cuepacs mempersoalkan apakah kelayakan dan bakat pekerja agensi terbabit hingga gaji diberi lebih tinggi daripada penjawat awam.
"Cuepacs terkilan apabila timbul perkara begini kerana banyak permintaan Cuepacs dalam menuntut hak penjawat awam tidak dipenuhi oleh kerajaan sedangkan kakitangan awam juga mempunyai kelayakan setaraf dengan agensi.

"Cuepacs ingin tahu mengapa kerajaan tidak kisah berbelanja begitu tinggi untuk mereka. Apakah sumbangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Cuepacs menyarankan supaya kerajaan mengambil pendekatan lebih telus dengan mendedahkan butiran perbelanjaan agensi termasuk gaji yang perlu dibayar kepada orang ramai.
"Kita menyokong kerajaan yang ingin mengurangkan defisit negara, tetapi biarlah ia dibuat dengan langkah yang adil dan wajar.  Lebih baik sekiranya kerajaan membelanjakan lebihan wang tersebut kepada rakyat," katanya.

Ong berkata, menggajikan pekerja kontrak di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah salah satu sebab perbelanjaan kerajaan meningkat sepanjang empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam Bajet 2014, JPM menerima peruntukan besar dengan Unit Perancangan Ekonomi menerima semua peruntukan untuk perancangan pembangunan.
Ong berkata, Najib sepatutnya terlebih dahulu mengurangkan perbelanjaan di JPM yang diunjur meningkat 13% daripada RM14.6 bilion kepada RM16.5 bilion pada 2014 nanti.
Ong turut mempersoalkan bayaran gaji yang tidak munasabah kepada pengarah eksekutif di bawah JPM sehingga ada mencecah ratusan ribu ringgit.

"Dalam jawapan Parlimen saya pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830,500, gaji bulanannya kira-kira sebanyak RM69, 000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40,000 sebulan).
"Semua CEO ini dibayar bulanan lebih tinggi daripada penjawat awam seperti Ketua Setiausaha Negara yang mempunyai gaji bulanan RM23, 577," katanya. – 30 Oktober, 2013.The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment