'Kenapa hanya buka 15 fail?' 
  • Anwar pada sidang media semalam mahu SPRM buka lebih banyak kertas siasatan.
 PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka lebih daripada 15 kertas siasatan membabitkan Laporan Ketua Audit Negara 2012, memandangkan terlalu banyak pembaziran dan ketirisan dilaporkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan laporan mengenai penyelewengan berterusan dalam laporan audit yang masih berulang.

“Tidak memadai SPRM siasat 15 (kertas siasatan), saya pun tidak faham kenapa 15 sahaja.

“Kemudian cakap kami (SPRM) akan siasat semua kes yang dicurigai, yang disyaki sebagai ada penyelewengan dan terangkum dalam undang-undang anti rasuah,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat PKR, di sini semalam.

Terdahulu, SPRM dilaporkan telah membuka 15 kertas siasatan berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 pada 1 Oktober lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, SPRM akan meneliti secara serius termasuk kelemahan yang didedahkan laporan itu.

Bagi tujuan itu juga, Mustafar berkata, SPRM telah menubuhkan satu pasukan khas dengan Jabatan Audit Negara untuk menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Selain itu, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa turut ditubuhkan untuk meneliti perkara itu bagi mengelakkan kes sama berulang dalam laporan audit akan datang.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan tidak boleh menyalahkan pegawainya berkenaan penyelewengan agensi dan jabatan kerajaan seperti yang dilaporkan dalam laporan audit.

“Saya gesa SPRM jalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan serta pembaziran dan bawa pesalah ke muka pengadilan.

“PKR mengharapkan kerajaan suatu hari nanti mengubah budaya agar mereka didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat dihukum, dan bukan sahaja ‘kambing-kambing hitam’ yang dijadikan korban,” katanya.

Bagaimanapun beliau yang kesal dengan sikap kerajaan yang sanggup membiarkan kejadian sama berulang, menyifatkan seolah-olah tiada kemahuan politik untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran dalam pentadbiran kewangan negara.

“Kita (pembangkang) merumuskan bahawa ianya melambangkan keadaan di mana tidak ada upaya, tekad dan 'political will' (kemahuan politik) untuk menghentikan ketirisan dan pembaziran ini. Dan, ini bukannya perkara baru.

“Saya ingin tekankan bahawa terdapat kelemahan pengurusan ekonomi negara dan keduanya, tidak ada tekad politik yang jelas untuk menangani masalah ini maka ianya berulang tahun demi tahun,” kata beliau.

Sejak Laporan Ketua Audit Negara 2011, sebanyak dua kes di bawa ke mahkamah sementara lima pegawai kerajaan dikenakan tindakan disiplin.